Ada sindiket kuasai kawasan kegiatan seleweng diesel

KPDN Kuala Lumpur membongkar premis yang dijadikan sebagai stor haram untuk menyimpas diesel bersubsidi yang diseleweng dari stesen minyak di ibu negara. Gambar kecil: Ariffin
KPDN Kuala Lumpur membongkar premis yang dijadikan sebagai stor haram untuk menyimpas diesel bersubsidi yang diseleweng dari stesen minyak di ibu negara. Gambar kecil: Ariffin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Terdapat penglibatan sindiket yang menguasai kawasan tertentu di ibu negara bagi tujuan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

Itu antara taktik yang dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur hasil risikan dan tindakan Op Tiris yang mula dilaksanakan sejak Mac tahun lalu.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, berdasarkan maklumat, kegiatan penyelewengan diesel di ibu negara ini melibatkan lebih daripada satu sindiket.

Menurutnya, sindiket ini menguasai kawasan tertentu bagi membuat pembelian minyak diesel di stesen-stesen minyak terbabit dan kesemua lori yang digunakan aktif bermula jam 5 petang sehingga jam 7 pagi sahaja.

"Ini bertujuan untuk mengelak dari dikesan oleh pihak berkuasa.

"Kesemua pemandu lori ini amat berhati-hati bagi mengelak diekori oleh pihak berkuasa dan KPDN Kuala Lumpur juga tidak menolak kemungkinan ada pekerja stesen-stesen minyak yang bersubahat dan diberikan imbuhan wang ringgit oleh pihak sindiket," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, diesel hasil penyelewengan itu kemudian akan dihantar kepada pemborong yang beroperasi di luar Kuala Lumpur bagi tujuan eksport atau kepada pihak industri.

Tambah Ariffin, sejak pelaksanaan Op Tiris bermula Mac tahun lalu hingga Mei tahun ini, KPDN Kuala Lumpur merekodkan 22 kes dengan nilai rampasan mencecah RM1.62 juta.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, sitaan membabitkan 202,000 liter diesel bernilai RM435,000, manakala tangkapan seramai 33 orang iaitu 25 warga tempatan dan lapan warga asing.

"Perbezaan harga minyak diesel bersubsidi di stesen minyak dengan minyak diesel industri melebihi RM0.80/liter dan ini menjadi faktor utama pihak sindiket mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan peribadi," katanya.

Tegasnya, KPDN memberi amaran keras mana-mana pihak supaya tidak melanggar undang-undang sedia ada serta tidak mengambil kesempatan terhadap subsidi yang diberikan oleh pihak kerajaan.

"Subsidi yang diberikan adalah untuk dinikmati oleh rakyat negara ini dan bukannya untuk aktiviti penyelewengan bagi mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

"KPDN WP Kuala Lumpur ingin menegaskan bahawa mana-mana individu atau mana-mana pihak ingkar bakal menerima hukuman yang berat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001)," katanya.

INFO:-

(A) Sebarang aduan boleh dikemukakan kepada pihak Kementerian melalui:-

i) Portal e-aduan.kpdn (https://eaduan.kpdn.gov.my)

ii) Call Centre 1 800 886 800

iii)

E-mail e-aduan@kpdn.gov.my

iv) Ez ADU KPDN (aplikasi telefon pintar)

v) Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command Centre)

03-8882 6088/6245 )

vi) Whatsapp 019-279 4317

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!