4 gajah mati akibat kegagalan pernafasan, organ

Penemuan bangkai empat ekor gajah oleh penduduk di Kahang Timur pada awal bulan ini.
Penemuan bangkai empat ekor gajah oleh penduduk di Kahang Timur pada awal bulan ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Empat ekor gajah yang ditemukan mati di Kahang Timur, Kluang pada awal bulan ini dipercayai mengalami kegagalan pernafasan dan organ selain pendarahan dalaman.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan gajah berkenaan diracun berdasarkan keadaan bangkai gajah.

Namun menurut beliau, pihaknya masih menunggu laporan ujian makmal dan toksikologi sampel daripada empat gajah berkenaan sebelum mengambil sebarang tindakan.

Tian Soon
Tian Soon

"Bangkai seekor ibu mamalia itu bersama tiga anak jantannya berada pada jarak 50 meter antara satu sama lain.

"Namun faktor empat gajah itu mengalami kegagalan pernafasan serta organ selain pendarahan dalaman memerlukan keputusan ujian makmal seperti ujian bakterialogi dan mirologi," katanya.

Beliau berkata pada sidang akhbar selepas program Johor Bersih@Sungai Skudai di Kampung Bakar Batu, Perling di sini pada Ahad.

Tian Soon berkata, bedah siasat sudah dijalankan oleh pakar veterinar sehari selepas bangkai gajah tersebut ditemui.

Artikel Berkaitan:

"Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) membawa pakar veterinar ke lokasi penemuan bangkai gajah untuk proses bedah siasat dijalankan.

"Sebaik sahaja bedah siasat selesai dijalankan, bangkai gajah berkenaan ditanam di kawasan terbabit," katanya.

Mengulas mengenai, Tian Soon berkata, tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya terbukti kematian gajah disebabkan diracun.

"Jika terdapat bukti kukuh, sememangnya tindakan undang-undang boleh diambil.

"Bagaimanapun, buat masa sekarang, beri ruang kepada Perhilitan untuk menjalankan siasatan terlebih dahulu," katanya.

Pada 3 Jun lalu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, habitat utama empat ekor gajah yang ditemukan mati di Kahang, Kluang, dikelilingi oleh kawasan pertanian, perladangan dan penempatan penduduk.

Beliau berkata, laporan awal telah mengenal pasti bangkai seekor gajah betina dan tiga ekor gajah jantan yang ditemukan itu, adalah dari kumpulan Bandar Tenggara di Hutan Simpan Lenggor, Hutan Simpan Kluang dan Kluang Tambahan, Hutan Simpan Labir, Hutan Simpan Sembrong di Johor dan Taman Negara Endau Rompin, Pahang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!