Tak sanggup angkut air, warga emas gali semula perigi lama
BESUT - Pasangan warga emas di Kampung Baru, Lata Tembakah di sini mengambil inisiatif menggali semula sebuah perigi lama kerana tidak sanggup berulang-alik sejauh tiga kilometer untuk mengangkut air dari sungai.
Penduduk kampung ini menghadapi masalah bekalan air ekoran kebanyakan air perigi telah kering akibat cuaca panas.
Ismail Musa, 75, berkata, dia dan isteri, Maimun Abdullah, 60, membelanjakan RM1,500 untuk menggali semula sebuah perigi lama berusia 30 tahun berdekatan rumahnya.
"Kami tidak sanggup lagi berulang-alik ke sungai untuk mengangkut air, mandi dan mencuci pakaian setiap hari sebab jarak ke situ mengambil masa.
"Sebab itulah kami berdua memutuskan untuk menggali dan mendalamkan semula perigi lama ini.
"Kalau ikutkan perigi ini hanya sedalam tiga meter dan kami gali dalamkan lagi menggunakan jengkaut sehingga mencecah lima meter untuk mencari mata air," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, baru-baru ini.
Ismail berkata, sebelum ini kira-kira 50 keluarga di kampung berkenaan hanya menggunakan air perigi sebagai sumber bekalan air bersih sejak perkampungan itu dibuka pada 1990.
Katanya, masalah air perigi kering dialami penduduk itu kali kedua berlaku selepas kejadian kali pertama pada tahun 2000.
"Kita tidak dapat menjangka sehingga bila masalah bekalan air itu akan berlarutan kerana selama ini penduduk kampung bergantung kepada bekalan air perigi.
"Kita bersyukur sebab beberapa minggu kebelakangan ini sudah hujan dan perigi kembali dipenuhi air. Rata-rata penduduk tak perlu lagi berulang-alik ke sungai setiap hari kecuali jika keadaan amat memerlukan sahaja," katanya.
Sementara itu, Maimun berkata, dia dan suaminya berharap projek bekalan air bersih luar bandar oleh Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) yang dijangka dilaksanakan pada Ogos depan berjalan lancar.
"Kami harap pelaksanaan projek itu dapat dipercepatkan supaya kami tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada bekalan air perigi. Penduduk kampung juga dapat menikmati bekalan air bersih sama seperti penduduk di kampung lain," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan penduduk di Kampung Baru, Lata Tembakah di sini terpaksa mandi dan mencuci pakaian di sungai kerana kebanyakan air perigi di kampung itu kering akibat cuaca panas.
Masalah itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin.
Beliau kemudian mencari alternatif memasang paip poli sejauh kira-kira dua kilometer bagi membantu penduduk mendapatkan bekalan air bersih buat sementara waktu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!