'Isu DLP tak wajar diperbesarkan' - Fadhlina

Fadhlina ketika ditemui pemberita pada Program Hari Keluarga Kelab Media Mutiara di Bertam Souk & Water Park hari ini. - Foto: Bernama
Fadhlina ketika ditemui pemberita pada Program Hari Keluarga Kelab Media Mutiara di Bertam Souk & Water Park hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KEPALA BATAS - Isu Program Dwibahasa (DLP) bagi pengajaran Sains dan Matematik yang dibangkitkan Lembaga Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dari 11 Sekolah Cina di negeri ini tidak wajar diperbesarkan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setakat ini sesi libat urus masih dijalankan dengan pihak berkenaan dan mendapat reaksi sangat baik daripada pengurusan sekolah.

Menurutnya, sesi libat urus itu sangat penting bagi memberi pemahaman dan penegasan berkenaan garis panduan yang mesti dipatuhi dalam pelaksanaan program berkenaan.

"Ketika ini, JPN (Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang) sekali lagi turun dan memberikan penjelasan membuat sesi libat urus dengan sekolah-sekolah yang prosesnya berterusan untuk memahamkan berkaitan isu garis panduan dan penegasan kita di bawah dasar memartabatkan bahasa Melayu dan mengukuhkan bahasa Inggeris.

"Ia harus berjalan selari dan kita tidak merasa perkara ini wajar diperbesar-besarkan kerana ia hanya soal bagaimana nak mematuhi garis panduan dan memenuhi kehendak itu berdasarkan garis panduan itu," katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Hari Keluarga Kelab Media Mutiara Pulau Pinang yang diadakan bersempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 peringkat Pulau Pinang di Bertam Resort and Waterpark.

Sebelum ini wakil sekolah vernakular di negeri itu menggesa KPM menghapuskan arahan ketat yang didakwa memberi kesan kepada pelaksanaan DLP.

Mereka mendakwa arahan terbaharu menerusi surat pekeliling itu tidak boleh dilaksanakan kerana tiada pelajar yang berminat untuk mengambil dua mata pelajaran tersebut dalam Bahasa Melayu.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!