'Isteri risau siapa jaga anak, petanda mereka pergi dulu'
JENGKA - Wanita yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 18 Jalan Jerantut-Maran dekat Sungai Salan pada Sabtu pernah meluahkan kebimbangan mengenai nasib anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) beberapa hari sebelum kejadian terbabit.
Syaifol Bahari Idris, 50, berkata, isterinya, Norazlina Ismail, 44, melahirkan kebimbangan dengan nasib anak tunggalnya itu sekiranya kami berdua meninggal dunia terlebih dahulu dan siapa yang akan menjaga Nur Harina Fatihah, 21.
"Beberapa hari lalu ketika nak tidur, isteri ada ajukan soalan siapa yang akan jaga Nur Harina Fatiha, kalau saya dan dia meninggal.
"Saya beritahu, kalau saya mati, awak (isteri) akan menjaga, begitulah selalunya yang berlaku. Jadi apabila diingatkan balik, pelik bila ditanya begitu. Rupanya dia (isteri) dijemput Ilahi bersama anak sekali," katanya.
Dalam kejadian itu, anaknya Nur Harina Fatihah meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, Norazlina meninggal dunia ketika menerima rawatan lanjut di Hospital Jerantut.
Seorang lagi mangsa iaitu pemandu Myvi, Suhaimi Abd Rahman, 42, turut meninggal dunia di hospital sama ketika menerima rawatan lanjut.
Dalam pada itu, Syaifol Bahari berkata, walaupun kehilangan dua orang tersayang serentak, dia yang juga pemandu ambulans Hospital Jerantut tetap reda dan akur dengan ketentuan ALLAH SWT
Dia yang turut cedera akibat kemalangan terbabit memberitahu, ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang selepas menziarahi orang meninggal dunia di Felda Jengka 13 dan singgah di rumah keluarga di Felda Jengka 16.
Kedua-dua mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Jengka 16 dekat sini kira-kira jam 11 pagi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!