Rumah setinggan terbakar, 11 warga Indonesia ditempatkan di PPS

Khirin-Nisa (tiga dari kiri) ketika menyerahkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Dewan PPS Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru pada Ahad.
Khirin-Nisa (tiga dari kiri) ketika menyerahkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Dewan PPS Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 11 warga Indonesia daripada tujuh keluarga mangsa kebakaran di Jalan Imam, Kampung Melayu Pandan di sini pada Sabtu ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kampung Melayu Pandan.

Mereka ditempatkan di PPS berkenaan yang dibuka pada jam 4 petang Sabtu selepas enam buah rumah setinggan diduduki mereka di kawasan terbabit terbakar pada jam 10.13 pagi.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khirin-Nisa Ismail; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung dan wakil pihak Konsulat Jenderal Indonesia di Johor Bahru melawat semua mangsa pada Ahad.

Menurut Khirin-Nisa, kerajaan negeri tetap memberi bantuan atas dasar kemanusiaan seperti makanan, air, pakaian terpakai dan PPS sebagai tempat tinggal sementara.

"Semua mangsa kebakaran 100 peratus bukan warga Malaysia.

"Namun kita tetap memberi bantuan kemanusiaan kepada mereka dan sekarang ini, pihak Konsulat Jenderal Indonesia di Johor Bahru akan ambil alih dan menguruskan rakyat mereka yang terlibat dengan insiden ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa melawat mangsa kebakaran di PPS berkenaan pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Kampung Melayu Pandan, Ibrahim Ismail berkata, kebakaran yang berlaku itu dipercayai berpunca daripada litar pintas dari sebuah rumah terbabit sebelum merebak ke rumah lain.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dalam kawasan kampung itu terdapat 70 peratus kediaman berstatus setinggan disewakan kepada warga asing.

Beliau berkata, lebih 5,000 warga asing menyewa di kawasan rumah berstatus setinggan itu di mana 50 peratus daripadanya adalah warga Indonesia manakala penduduk asal 30 peratus sahaja.

"Penduduk kampung memberi bantuan awal kepada semua mangsa atas dasar kemanusiaan. Perbincangan dengan pihak Konsulat Jenderal Indonesia telah dibuat bagi kebajikan mereka dan tindakan lanjut kerana PPS ini dijangka ditutup jam 9 pagi esok pagi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!