Jeritan jiran selamatkan tiga beranak daripada rentung

Siti Muafikoh bersama anaknya yang ditempatkan di PPS Dewan Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru pada Ahad selepas rumah mereka terbakar.
Siti Muafikoh bersama anaknya yang ditempatkan di PPS Dewan Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru pada Ahad selepas rumah mereka terbakar.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jeritan jiran berjaya menyelamat tiga beranak daripada rentung dalam kebakaran melibatkan enam rumah setinggan di Kampung Melayu Pandan di sini pada Sabtu.

Mangsa, Siti Muafikoh Samri, 46, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur bersama anaknya berusia lapan tahun, manakala anaknya yang berusia empat tahun sedang mandi.

Menurut Siti Muafikoh, suaminya pula, Khairi Wagi, 55, yang bekerja sebagai kontraktor ketika itu sudah berada di tempat kerja.

Dia yang merupakan warga Indonesia berkata, mendengar jeritan jiran meminta mereka keluar kerana kawasan rumah mereka sedang terbakar.

"Saya bekerja sebagai tukang masak di Pasar Borong Pandan dan pulang awal pagi, terdengar jeritan jiran suruh keluar kerana api sudah marak tetapi rasa macam bermimpi.

Fransisca (kanan) melawat mangsa kebakaran yang menempatkan tujuh keluarga di PPS Dewan Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru pada Ahad.
Fransisca (kanan) melawat mangsa kebakaran yang menempatkan tujuh keluarga di PPS Dewan Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru pada Ahad.

"Jadi saya pantas bangun, capai dokumen penting dan terus sahaja tarik anak yang berada di sebelah dan di bilik air untuk keluar.

"Saya cuba masuk semula untuk ambil pakaian tetapi api sudah marak. Kami tinggal sehelai sepinggang," katanya ketika ditemui pemberita di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kampung Melayu Pandan di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu keluarga Siti Muafikoh menerima kunjungan dan bantuan daripada Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khirin-Nisa Ismail; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung dan Staf Fungsi Konsuler dari Konsulat Jenderal Republik Indonesia Johor Bahru, Fransisca Suryaningsih.

Keluarga Siti Muafikoh merupakan antara 11 warga Indonesia daripada tujuh keluarga yang menjadi mangsa kebakaran di kampung tersebut pada jam 10.13 pagi Sabtu.

Bercerita lanjut, Siti Muafikoh yang sudah 10 tahun menyewa rumah di kampung tersebut berkata, dia kemudian menghubungi suaminya untuk memaklumkan mengenai kebakaran itu.

"Suami bertanyakan wang tunai RM3,000 yang diselit antara papan dan karpet serta jam tangan mahal yang baru dibelinya. Saya maklumkan sudah terbakar semua sehingga siling rumah pun sudah tiada," katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Hayati, 67, berkata, dia bersedia untuk dihantar pulang oleh pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Johor Bahru selepas permitnya tamat tempoh.

"Saya sudah berada di sini sejak 1995 dan arwah suami saya yang mendapat pemastautin tetap (PR) telah lama meninggal dunia.

"Walaupun saya ada keluarga dan kenalan di sini, namun permit saya sudah tamat tempoh. Sekiranya dihantar pulang ke Indonesia, saya bersedia," katanya.

Dalam pada itu, Fransisca berkata, pihaknya akan mengambil maklumat berkaitan semua mangsa untuk tindakan susulan.

Katanya, terdapat tiga mangsa memegang status PR, ada di antara yang mempunyai permit dan ada juga sebahagian tidak mempunyai permit.

Bagi mangsa yang tidak mempunyai permit dokumen perjalanan ujar Fransisca, pihaknya akan menguruskan dokumen berkaitan untuk mereka dihantar pulang.

"Bagi mangsa yang berstatus penduduk tetap dan mempunyai permit, mereka akan menumpang rumah saudara atau tetangga lain yang berada di sekitar daerah ini.

"Terima kasih kepada kerajaan Johor atas bantuan awal dan kita akan uruskan lanjut rakyat kita yang ditimpa musibah ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!