Sempat lari sebelum rumah ranap dipukul ribut
PASIR PUTEH - Seorang kakitangan awam kontrak hampir dihempap rumah yang roboh akibat ribut melanda di Kampung Kok Berangan, di sini, pada Sabtu.
Mangsa, Nik Nazar Noor Ab Ghani, 46, sempat berlari keluar dari rumah kayu terbabit sebelum rumah itu ranap sepenuhnya kurang lima minit dia menyelamatkan diri.
Katanya, dalam kejadian yang berlaku pada jam 6 petang itu, dia sedang berehat di dalam rumah pusaka berusia 31 tahun dan terdengar bunyi desiran angin kuat lalu melihat keluar tingkap.
“Saya buka tingkap, ternampak cuaca di luar sangat gelap disusuli bunyi atap terpelanting.
“Saya kemudian mencapai beg duit dan berlari keluar dari rumah untuk berlindung di celah-celah antara dinding konkrit rumah adik-beradik yang terletak bersebelahan namun bunyi dentuman kuat berlaku sekali lagi akibat rumah saya yang runtuh dipukul ribut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, pada Ahad.
Nik Nazar bercerita dalam keadaan sebak kerana kejadian itu menyebabkannya hilang tempat tinggal selain keadaan dirinya sudah kira-kira empat tahun tinggal bersendirian di rumah itu kerana berpisah dengan bekas isteri.
“Dua anak lelaki kami yang berusia 10 dan sembilan tahun tinggal bersama ibu mereka di Selising.
“Mereka datang tinggal bersama saya ketika cuti sekolah dan mujurlah semasa kejadian ribut ini, kedua-duanya tidak ada bersama kerana saya baru sahaja menghantar mereka pulang kelmarin,” katanya.
Sementara itu, anak saudara Nik Nazar, Nik Amizul Ilham Nik Suzairi, 14, berkata, ketika kejadian, dia berada bersama sepupunya, Muhammad Firdaus Ahmad Faizol, 18, dan dua lagi rakan lain berada di atas jambatan di tali air berdekatan rumah mereka.
Nik Amizul Ilham berkata, melihat pusaran angin berwarna kelabu datang dari arah tengah-tengah bendang menuju ke rumah mereka menyebabkan kesemua segera menghidupkan enjin motosikal dan memecut pulang ke rumah.
“Kami berlindung di dalam rumah salah seorang saudara yang terletak sederet dengan rumah bapa saudara saya (Nik Nazar).
“Waktu itu kami berasa rumah ini bergegar selain zink rumah Nik Nazar terbang di bahagian atap rumah kami berlindung,” katanya.
Muhammad Firdaus pula berkata, kejadian itu kali pertama berlaku di kawasan kampung tersebut dan turut menyebabkan beberapa kereta mereka rosak seperti cermin pecah dan kemek kerana ditimpa zink serta pokok-pokok tumbang.
“Ribut ini turut menyebabkan pohon-pohon betik dan pokok nangka setinggi kira-kira enam meter di belakang rumah kami tumbang,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!