Jual air kepada Pulau Pinang: Cakap politik menjelang PRK Sungai Bakap

Laporan Sinar Harian (kiri) dan Mahdzir Khalid
Laporan Sinar Harian (kiri) dan Mahdzir Khalid
A
A
A

ALOR SETAR - UMNO Kedah mahu Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi fokus menyelesaikan masalah air di negeri ini terlebih dahulu berbanding menjual air kepada Pulau Pinang.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid mendakwa, kenyataan Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu sekadar percakapan politik menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang bakal diadakan tidak lama lagi.

“Sekarang ini selesaikan dahulu perkara itu (masalah air di Kedah). Cakap nak pilihanraya, nak politik, tidak payahlah. Cakap sebab bakal ada pilihan raya di Sungai Bakap, tidak payahlah. Selesaikan dulu masalah di negeri ini. Banyak lagi (masalah air belum selesai).

“Kita tahu ada lagi bajet daripada kerajaan Persekutuan, ada dalam senarai untuk menyediakan loji rawatan air, tempat lain pun ada, banyak lagi yang tidak selesai,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Tunku pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Muhammad Sanusi bahawa kerajaan negeri Kedah sedia menjual bekalan air bersih kepada Pulau Pinang bagi mengatasi isu air yang membelenggu penduduk Nibong Tebal sejak sekian lama khususnya di kawasan Sungai Bakap.

Mahdzir yang juga bekas Menteri Kedah berkata, banyak lagi kawasan di Kedah yang mempunyai masalah air dan perlu diberikan perhatian kerajaan negeri.

“Sekarang ini di Kedah, kegunaan margin air adalah 99 peratus sebab kapasiti loji rawatan air cukup-cukup rawat air jadi air bersih, masuk dalam paip kemudian ada air tidak berhasil (NRW) disebabkan oleh paip bocor.

“Kami tahu sebab pernah berusaha untuk mengatasi masalah ini bagi jadi elok,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan, Muhammad Sanusi pada Majlis Pelancaran Jentera PRK PN N20 Sungai Bakap, pada malam Sabtu, berkata, pihaknya mempunyai lebihan air bersih di Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar dan bersedia untuk disalurkan ke negeri ini sekiranya Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin membeli.

Menurutnya, sebagai negeri maju yang mempunyai pelan khas 'The Greater Penang' dari Kerajaan Persekutuan sejak sekian lama, tidak sepatutnya Pulau Pinang berdepan dengan masalah air.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!