Speaker tiada pilihan, perlu patuh Perlembagaan Persekutuan - Wan Saiful

Laporan Sinar Harian. Wan Saiful (kanan).
Laporan Sinar Harian. Wan Saiful (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul tidak mempunyai pilihan melainkan mematuhi Perlembagaan Persekutuan dengan mengisytiharkan semua kerusi ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri sebagai kosong.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menegaskan, keahlian seseorang yang digugurkan adalah urusan dalaman parti dan bukan bidang kuasa Speaker.

“Setelah parti ada pegangan dalam hal berkenaan, maka tindakan Speaker mestilah berdasarkan apa yang Perlembagaan Persekutuan kehendaki setelah seseorang itu terhenti keahliannya.

“Negara dan dunia akan menghakimi adakah Speaker bertindak untuk memelihara kemuliaan Dewan Rakyat dan keluhuran Perlembagaan, atau adakah beliau bertindak secara kepartian.

“Ini adalah ujian penting konsep pengasingan kuasa dalam Parlimen,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Ahad.

Johari sebelum ini dilapor belum menerima sebarang notis rasmi daripada mana-mana pihak berhubung kekosongan kerusi membabitkan enam ahli Parlimen Bersatu yang digugurkan keahlian dalam parti.

Beliau juga memaklumkan, perlu masa untuk meneliti semua perkara dengan cermat terutama melibatkan undang-undang termasuk Akta Anti Lompat Parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) sebelum memutuskan sebarang keputusan terhadap mereka.

Dalam pada itu, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, Mesyuarat MPT Bersatu pada Jumaat lalu turut bersetuju terdapat beberapa perkara yang akan diuruskan oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, langkah-langkah tersebut dicadangkan kepada mesyuarat oleh Ketua Pembangkang itu dan dipersetujui oleh mesyuarat.

“Saya ucapkan tahniah kepada Datuk Seri Hamzah kerana begitu teliti dalam merancang dan melaksanakan perkara ini demi memastikan semuanya teratur.

“Saya rasa kita tidak perlu dedahkan satu persatu langkah yang akan diambil,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!