Pertukaran KSU ambil kira kerjasama dengan menteri
PUTRAJAYA - Pertukaran Ketua Setiausaha (KSU) kementerian mengambil kira pelbagai faktor termasuk kesesuaian mereka dengan menteri, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata seseorang KSU berhak untuk dipindahkan dari satu kementerian ke kementerian lain berdasarkan prestasi atau berlaku kenaikan pangkat.
"Kalau terdapat keadaan yang mana menteri dengan pegawai tidak boleh bekerjasama langsung, maka kita perlu ambil kira perkara ini.
"Tetapi kebiasaannya kita tak tanya menteri, siapa yang dia suka walaupun kita tahu kualiti orang yang dikehendaki oleh seorang menteri.
"Kita perlu meneliti terlebih dahulu sebelum membuat pelantikan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), di sini hari ini.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed
Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rombakan dalam jawatan utama sektor awam membabitkan pertukaran jawatan dan kenaikan pangkat sembilan KSU kementerian dan tiga ketua pengarah jabatan baru-baru ini.
Bagaimanapun, berlaku perubahan dalam rombakan terbabit apabila ada KSU yang sepatutnya ditukarkan ke kementerian lain, sebaliknya kekal di kementerian sama apabila difahamkan ada menteri berkenaan memfailkan rayuan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!