Musa Mohamad tokoh pembangunan pendidikan negara

Bekas Menteri Pendidikan yang juga bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia Tan Sri Musa Mohamad, 81, meninggal dunia akibat kanser darah. Foto Bernama
Bekas Menteri Pendidikan yang juga bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia Tan Sri Musa Mohamad, 81, meninggal dunia akibat kanser darah. Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Bekas Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamad ialah tokoh yang berpandangan jauh dan mempunyai idea-idea baharu bagi pembangunan pendidikan negara, menurut Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

Beliau berkata, antara sumbangan Allahyarham yang tidak diketahui ramai termasuk membangunkan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.

"TVET ketika itu dipanggil kursus vokasional yang menggunakan model dari Jerman dan kepakaran industri untuk mengajar pelajar secara terus.

"Pusat Pengajian Farmasi yang terkini di Malaysia pada ketika itu juga berjaya mengeluarkan graduan yang mendapat pekerjaan dalam bidang berkenaan selain beliau turut membuka banyak lagi pusat pengajian terkini di universiti khususnya dalam bidang kejuruteraan,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara di sini pada Ahad.

Dzulkifli yang pernah memegang jawatan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) selama 11 tahun bermula 2000 memaklumkan Allahyarham Musa juga banyak menyumbang kepada pembangunan universiti itu semasa menjawat jawatan Naib Canselor dari 1982 hingga 1995.

"Ketika itu, kita tiada ranking (kedudukan universiti dunia) namun USM sentiasa dikenali dunia kerana hasil kerja yang dilakukan dan kebebasan yang diberi kepada pelajar dan penyelidik,” katanya.

Allahyarham Musa, 81, menghembuskan nafas terakhir pada 7.12 malam Sabtu di sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya akibat kanser darah Mieloma berbilang.

Beliau merupakan individu pertama bukan ahli politik memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan dari 1999 hingga 2004.

Allahyarham juga pernah memegang beberapa jawatan penting antaranya Presiden Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Antarabangsa dari tahun 2001 hingga 2003. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!