Taklimat kewarganegaraan bukan untuk bantu warga asing - Andrew Chen

Andrew Chen
Andrew Chen
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng menjelaskan taklimat dan penerangan kewarganegaraan yang dianjurkan pihaknya bukan untuk membantu warga asing memohon kewarganegaraan.

Setiausaha DAP Johor itu sebaliknya menjelaskan, program berkenaan bertujuan untuk memberi penerangan, kesedaran dan pemahaman kepada warganegara Malaysia yang ahli keluarganya menghadapi ketiadanegaraan (statelessness)

"Merujuk kepada hantaran di media sosial, saya pada 31 Mei, ia telah jelas menunjukkan tujuan program tersebut. Hanya apabila poster info grafik dan kapsyen yang dimuat naik sebelum ini dibaca berasingan oleh sesetengah pihak, ianya menimbulkan kekeliruan dari tujuan asal program taklimat kami.

"Program taklimat ini telah direncanakan bagi memberi pemahaman yang lebih jelas kepada golongan ini dalam berurusan dengan jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan, terutamanya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia dan lain-lain," katanya dalam muat naik di Facebook pada Ahad.

Tegas Andrew Chen, pihaknya tidak sama sekali pernah bermaksud untuk menjanjikan status kewarganegaraan kepada sesiapa kerana perundangan berkaitan status ini jelas termaktub dalam perlembagaan negara dan proses yang telah ditetapkan oleh JPN juga wajib dipatuhi.

Beliau memberitahu, antara golongan yang selalu terkesan dengan masalah ini adalah warganegara Malaysia daripada kategori B40 yang berkahwin dengan warganegara asing dan telah mendapat zuriat.

"Sebagai ADUN di kawasan Stulang, Pusat Khidmat saya sering didatangi penduduk yang menghadapi masalah isu kewarganegaraan atas pelbagai faktor seperti keruntuhan rumah tangga seterusnya dokumentasi anak ini terabai sehingga menjejaskan masa depan mereka.

"Sebagai contoh, perkahwinan tidak sah taraf antara pasangan tersebut akan menemui jalan buntu apabila dokumentasi yang diperlukan seperti sijil perkahwinan yang didaftarkan di Malaysia, dokumen pengenalan diri ibu atau bapa yang bukan warganegara tidak dapat diperakui," katanya.

Artikel Berkaitan:

Akibatnya, anak tersebut tercicir dari mendapatkan pendidikan dan bantuan kesihatan dan terpaksa bekerja buruh diusia muda.

"Selain itu mereka terdedah kepada masalah sosial, tidak layak memiliki pasport untuk ke luar negara, dipandang serong oleh masyarakat dan berkemungkinan besar 'statelessness' status tersebut terus diwarisi.

"Terdapat juga kes-kes di mana permohonan telah lama diajukan kepada jabatan kerajaan terbabit tetapi atas sebab-sebab tertentu (tidak layak, dokumen tidak mencukupi), ianya tidak dapat diproses.

"Bagi kes seperti ini, pihak kami akan membantu dalam membuat semakan atau rayuan dari jabatan berkaitan," katanya.

Justeru, beliau berharap pencerahan yang dibuat dapat meredakan kekeliruan yang telah timbul dari tajuk poster program sebelum ini dan spekulasi mengenainya tidak diperbesarkan lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!