[VIDEO] Matahari terbenam di Pulau Ketam pikat hati pengunjung
KUALA PERLIS - Pemandangan indah ketika matahari terbenam menjadi daya tarikan orang ramai beriadah sambil berswafoto di pesisiran jalan Pulau Ketam di sini.
Seorang pengunjung yang juga pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Najihah Sahdah, 27, berkata, dia dan rakan-rakan berkunjung ke lokasi berkenaan setelah menonton di aplikasi TikTok.
"Selalu Kuala Perlis ini popular orang makan lokching di tepi laut, tapi kat sebelah sana sedikit sibuk sebab tepi jalan raya.
"Tapi dekat sini lebih tenang, ambil gambar pun cantik semasa matahari terbenam, dahan-dahan pokok di sini menambahkan lagi keindahan alam," katanya yang berasal dari Bintong.
Seorang pelancong dari Subang Jaya, Salmah Ahmad, 63, berkata, dia dan rakan-rakan kumpulan tadarus datang bercuti di Perlis selama beberapa hari.
"Hari ini kami dibawa menaiki choley pusing-pusing Kampung Warna Warni, kemudian mereka kata nak bawa kami lihat 'sunset' di Pulau Ketam ini.
"Kami memang teruja ambil gambar kat sini. Saya kali pertama datang ke Perlis dan bagi saya negeri ini sangat mendamaikan, suasana pun tenang dan cantik," katanya.
Seorang peniaga Alias Man, 64 berkata,selain menyajikan pemandangan yang indah, Pulau Ketam itu juga turut terkenal dengan menu laksa lemak udang lipan.
"Menu itu dikira "signature" di sini la, ada 22 buah gerai yang dibuka sepanjang persisiran jalan Pulau Ketam ini.
"Selalunya sekitar jam 6.30 petang, pengunjung mula memenuhi kawasan ini untuk beriadah dan ambil angin laut.
"Paling ramai pada waktu hujung minggu dan cuti sekolah sebab ada juga yang datang luar dari Perlis,"katanya yang sudah dua tahun berniaga di kawasan terbabit.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!