TH beri kerjasama tangani isu penipuan haji
SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) akan memberi kerjasama penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani isu jemaah haji terkandas dan membanteras penipuan pakej haji.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Hamadah Syed Othman berkata, Pasukan Petugas Khas (Task Force) itu akan diterajui oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) lanjutan daripada pelbagai laporan yang dibuat jemaah di Tanah Suci.
Menurutnya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta pihak berkuasa Arab Saudi turut menyertai Pasukan Petugas Khas (Task Force) tersebut.
“Pasukan ini diterajui oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), PDRM dan dianggotai oleh beberapa pihak berkuasa serta agensi kerajaan termasuk TH lanjutan daripada laporan dan dakwaan terdapat bakal haji terkandas di Tanah Suci.
“Kita mahu tangani isu ini sebaik mungkin secara bersepadu dan sekali gus membantu menghentikan kesalahan serta kes penipuan berkaitan urusan haji di negara ini secara tuntas,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, media melaporkan terdapat beberapa jemaah haji Malaysia terkandas di Makkah selepas pasport mereka dipegang agensi pelancongan sekali gus tidak boleh pulang ke tanah air.
Anak kepada mangsa terkandas dilaporkan berkata, ibu bapanya mengambil pakej haji menggunakan visa pelancong yang diuruskan sebuah agensi pelancongan di Seri Kembangan, Selangor.
Susulan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, Task Force akan bekerjasama dengan agensi kerajaan yang berkaitan bagi memastikan tindakan selanjutnya diambil berpandukan peruntukan undang-undang tertentu dan sesuai dengan kesalahan yang dikesan.
Mengulas lanjut, Syed Hamadah berkata, TH akan menyalurkan maklumat yang diperlukan untuk proses siasatan lanjut mengikut bidang kuasa dan lunas undang-undang.
Tambah beliau, dengan penubuhan pasukan tersebut diharapkan kes berkaitan penipuan ibadah atau urusan haji dapat diselesaikan secara tuntas.
"TH akan menyalurkan segala maklumat yang diperlukan untuk proses siasatan pihak berkuasa mengikut bidang kuasa dan lunas undang-undang yang bersesuaian,” jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!