SJKC: Kemasukan murid Melayu meningkat, India menurun di Perak
IPOH - Kemasukan murid bukan Cina ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Perak tidak menunjukkan peningkatan ketara pada tahun 2024 berbanding tahun sebelumnya.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, berdasarkan data daripada Jabatan Pendidikan negeri, peningkatan dilihat bagi kaum Melayu iaitu seramai 2,687 orang pada tahun 2024 berbanding tahun 2023 iaitu seramai 2,585 orang.
Menurutnya, bagi kaum India pula, jumlah kemasukan murid ke SJKC menurun apabila hanya seramai 1,483 orang pada tahun ini berbanding seramai 1,508 orang tahun lalu.
"Kita tidak mengamalkan dasar tutup pintu sebab demokrasi pendidikan. Mereka boleh pilih sekolah mana yang nak dihantar untuk anak-anak mereka mendapat pendidikan.
"Yang penting kita mahu tidak ada keciciran dalam kalangan anak-anak tak kira di SK, SJKC, SJKT (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) atau sekolah-sekolah agama dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Program Kem Belia Kreatif 2024 di Bazar Ipoh, Silveritage di sini pada Ahad.
Khairudin berkata, terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi peningkatan atau penurunan kemasukan kaum selain Cina ke SJKC.
Menurutnya, keadaan tersebut bergantung kepada halatuju dan kemahuan ibu bapa terhadap pendidikan anak masing-masing.
Bagaimanapun katanya, perkara paling penting adalah memastikan murid-murid mendapat pendidikan yang sewajarnya demi kemajuan dan pendidikan mereka pada masa akan datang.
Sinar Harian menerusi laporan khas pada Ahad, mendedahkan berlaku trend peningkatan ibu bapa bukan Cina menghantar anak mereka ke SJKC.
Berdasarkan data Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina dan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) serta Kementerian Pendidikan (KPM), jumlah murid bukan Cina di SJKC pada 1989 seramai 17,309 bersamaan 3.05 peratus sebelum meningkat kepada 52,043 pada 1998 iaitu 8.66 peratus.
Jumlah tersebut melonjak kepada 72,443 pada 2010 (11.84 peratus) dan 101,011 (19.75 peratus) pada 2020.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!