Adik bongsu Hasnatul Adilah terkilan tak jumpa arwah

Mohd Hafizuddin menunjukkan gambar kenangannya bersama arwah pada Aidilfitri lalu.
Mohd Hafizuddin menunjukkan gambar kenangannya bersama arwah pada Aidilfitri lalu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Adik bongsu kepada mangsa maut dalam kemalangan bas merempuh treler di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat terkilan tidak dapat berjumpa kakak sulungnya pada cuti persekolahan lalu.

Mohd Hafizuddin Hassan, 37, yang bertugas sebagai pegawai tentera di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, berkata, ketika itu kakaknya Allahyarhamah Hasnatul Adilah Hassan,48, meluangkan masa bersama keluarga termasuk pergi berkelah dengan adik-beradik lain namun dia yang pulang ke kampung pada ketika itu sibuk menguruskan hal insurans kenderaan.

Menurutnya, selalunya setiap kali pulang ke kampung dia akan menziarahi kakak sulung daripada enam beradik itu di rumah di Masjid Tanah namun kali ini dia tidak sempat berbuat demikan.

Malah katanya, ketika arwah masih hidup, pernah juga kakaknya berseloroh bahawa suatu hari nanti arwah akan popular dan dikenali disebabkan kegigihannya sebagai pendidik dalam masa sama rajin membuat kerja sampingan menjual di aplikasi TikTok bagi menyara keluarga.

"Akhirnya betul kak long popular, sampaikan Menteri Pendidikan pun tahu dan ramai mendoakan pemergiannya termasuk juga Ketua Menteri.

"Saya harap proses pengebumian ini dipermudahkan yang kami jangkakan selepas solat maghrib," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman keluarganya di Kampung Ramuan China Besar, Masjid Tanah, di sini, pada Ahad.

Tambahnya, lebih menyedihkan pemergian kakaknya yang juga Guru Penolong Kanan (GPK) Hal Ehwal Murid (HEM) itu hampir dengan tarikh ulang tahun kelahiranya yang ke-48 iaitu pada 16 Jun ini.

Ujarnya, tidak dapat digambarkan sepanjang perjalanan dari Sungai Petani ke Melaka dirinya dibasahi air mata kerana arwah merupakan kakak yang paling rapat dengannya, ditambah pula sikap peribadinya yang lemah lembut dan disenangi semua.

Artikel Berkaitan:

"Kita jangkakan jenazah akan tiba di Melaka pada lewat petang ini dan terus dibawa ke Masjid Ramuan China untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tangki Air Ramuan China Besar," ujarnya yang merupakan adik bongsu daripada enam beradik itu.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan nahas awal pagi melibatkan bas merempuh treler di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat tu mengorbankan dua penumpang dan pemandu kedua bas persiaran terbabit.

Selain Hasnatul Adilah, turut maut seorang lagi penumpang, Hamzah Ahmad, 60, dan pemandu kedua bas terbabit, Hadi Ashraf Mad Idris, 29.

Polis mengesahkan Hasnatul Adilah meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Hadi Ashraf ketika dalam perjalanan ke Hospital Muadzam Shah.

Mangsa ketiga, Hamzah Ahmad, 60, yang juga pembantu operasi SK Jeram meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!