SPRM akan panggil Exco Perak kes tukar status tanah rizab Melayu
PARIT - Beberapa Exco kerajaan Perak akan dipanggil bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan penukaran status tanah rizab Melayu di negeri itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan dilakukan menunjukkan benar berlaku tanah rizab Melayu ditukar kepada pegangan bebas dan telah dibangunkan kepada projek perumahan.
Menurutnya, saksi-saksi lain yang akan turut dipanggil berkait kes tersebut termasuklah kakitangan kerajaan yang ketika itu bertugas di Pejabat Tanah dan Galian (PTG).
"Ini termasuklah juga minit mesyuarat berkaitan yang mana dibawa untuk kelulusan Exco (Mesyuarat Exco).
"Jadi Exco ketika itu akan dipanggil untuk memberi keterangan dan membantu siasatan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Pertandingan Debat Anti Rasuah Institut Pendidikan Tinggi Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2024 di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Tronoh di sini pada Ahad.
Hadir sama, Naib Canselor UTP, Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib; Timbalan Pengerusi Majlis Universiti Debat Malaysia (Madum), Profesor Dr Akmal Khuzairy Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari.
Azam berkata, setakat ini belum ada pendakwaan baharu dilakukan dan siasatan kes terbabit masih lagi berjalan.
"Sekarang siasatan telah berada di peringkat kedua selepas kita membuat pendakwaan ke atas seorang pegawai PTG sebelum ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau menafikan bahawa pembebasan seorang pengarah urusan sebuah syarikat hartanah yang ditahan reman sebelum ini memberi maksud bahawa siasatan terhadap individu tersebut telah selesai.
"Dia dibebaskan kerana telah tamat tempoh reman yang diberikan majistret, bukan bermakna siasatan telah selesai," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan pengarah urusan berusia 44 tahun itu direman empat hari selepas disyaki memberi rasuah pegawai kerajaan berkait tanah rizab Melayu seluas kira-kira 650 hektar yang ditukar status kepada bukan rizab Melayu.
Tanah itu kemudian dipindah milik kepada 317 individu serta syarikat bukan bumiputera di mukim Sitiawan, Manjung.
Pada 30 April lalu media melaporkan, bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik di PTG Perak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan menipu agensi kerajaan negeri sehingga menyebabkan pemecahan lot tanah rizab Melayu melibatkan kawasan seluas 649.2 hektar di Sitiawan, 12 tahun lalu.
Tertuduh, Rosli Che Mohamed, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!