Wujud Gabungan Bangsa Johor agar tidak mengemis dengan Pusat - Tunku Mahkota Ismail
ISKANDAR PUTERI - Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menyarankan Gabungan Bangsa Johor diwujudkan bagi menjaga kepentingan Johor tanpa perlu 'mengemis' peruntukan kerajaan Pusat.
Baginda bertitah, kewujudan gabungan itu penting bagi kerajaan negeri memperbaiki sistem dalam negeri berkenaan demi kepentingan kehidupan generasi akan datang agar lebih terpelihara.
Titah Tunku Mahkota Ismail, tidak perlu membawa sentimen politik dalam kerajaan Persekutuan ke negeri ini kerana tidak akan membawa kepentingan rakyat Johor.
"Kalau kita ada Gabungan Bangsa Johor macam parti politik di Sarawak, jika Sarawak boleh buat, kita pun boleh buat. Itu saya harap akan berubah dari segi cara pemikiran dan ada gabungan ini.
"Apa-apa hasil pendapatan, kemajuan dalam negeri, sekurangnya kita ada suara untuk memperjuangkan hak kita. (Gabungan Bangsa Johor) perlu dilaksanakan, kita kena jaga diri kita sendiri.
"Jika tidak ubah cara pemikiran kita, saya fikir sampai bila-bila Johor akan jadi pengemis je, sampai bila-bila Johor kena minta permohonan, itu pun tengok juga kalau kita ini jadi keutamaan atau tidak," titahnya.
Beliau bertitah demikian dalam sesi podcast secara langsung bersempena Program Johor Youth Meet-up di Kompleks Sukan Educity di sini pada Ahad.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama barisan Exco kerajaan negeri yang lain.
Pemangku Sultan Johor bertitah, baginda telah melalui fasa itu bagaimana Johor menjadi pengemis menunggu peruntukan kerajaan Pusat dan terpaksa membuat macam-macam permohonan.
Titahnya lagi, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang kini bergelar Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan duit sendiri membaiki wad unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru beberapa tahun lalu.
"Esok kalau ada Perdana Menteri yang tak berapa suka dengan Johor, sekat semua duit ke negeri Johor, projek yang sudah diluluskan seperti Hospital Pasir Gudang dan Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) dihentikan kerana kurang senang dengan Johor.
"Sekarang ini Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun terpaksa melayan kita kerana Sultan Johor kita adalah Yang di-Pertuan Agong, kalau esok Sultan bukan lagi Yang di-Pertuan Agong, rasanya masih dengar cakap kita dan fikirkan kita ke tidak?
"Sebab itu, rakyat Johor saya beri pandangan perlu ada Gabungan Bangsa Johor untuk kita jaga kepentingan kita. Jika tidak ada inisiatif ini, dalam 10 tahun akan datang akan kita akan lalui masalah sama, itu realitinya," titahnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!