'Ayah akan bersara 7 Julai ini' - Anak mangsa

Siti Zulaikha (berpelitup muka) ketika ditemui pemberita di Unit Forensik HTAA di sini pada Ahad.
Siti Zulaikha (berpelitup muka) ketika ditemui pemberita di Unit Forensik HTAA di sini pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Pembantu operasi Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka, Allahyarham Hamzah Ahmad, 60, yang maut dalam nahas bas persiaran membawa rombongan guru di Jalan Kuantan-Segamat, berhampiran simpang tiga Bahau, Muadzam Shah, akan bersara bulan depan.

Anak perempuan sulungnya, Siti Zulaikha, 25, berkata, ayahnya akan pencen pada 7 Julai depan.

Siti Zulaikha berkata, pada awalnya ayahnya berat hati mengikuti rombongan ke Terengganu itu.

"Bagaimanapun mak (Shamsiah Khamis, 55) pujuk ayah supaya ikut serta sebagai kenangan sebelum pencen.

"Ayah jarang ke mana-mana dan dia pernah beritahu nak ternak ayam selepas pencen dan lebih banyak berada di masjid," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada Ahad.

Siti Zulaikha berkata, awalnya dia menyangka ayahnya hanya mengalami kecederaan dalam kemalangan itu.

"Tidak sangka, ayah antara mangsa yang terkorban," katanya.

Sementara itu, kakak ipar mangsa, Sharifah Khamis, 58, berkata, Allahyarham adik iparnya itu seorang yang baik dan warak.

Artikel Berkaitan:

"Kebelakangan ini kami perasan, arwah bersikap pendiam dan tidak banyak bercakap seperti selalu.

"Kali terakhir saya jumpa arwah semalam (Sabtu) sebelum dia ke sekolah," katanya.

Hamzah meninggalkan seorang isteri dan dua anak perempuan, Siti Zulaikha dan Siti Wardah, 24.

Dalam kemalangan itu, bas persiaran yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu terbabit nahas dengan treler sebelum terbabas ke cerun dan terbalik.

Turut maut seorang guru SK Jeram, Hasnatul Adilah Hassan, 48, dan pemandu bas kedua,Hadi Ashraf Mad Idris, 29.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!