Guru agama maut, tersepit dalam MyVi

Nur Ain Fitriah (dua dari kiri) yang bergambar dengan ahli keluarganya sebelum ini. Gambar kanan: Keadaan kenderaan mangsa yang remuk selepas terbabit kemalangan. Foto Pembaca Sinar harian
Nur Ain Fitriah (dua dari kiri) yang bergambar dengan ahli keluarganya sebelum ini. Gambar kanan: Keadaan kenderaan mangsa yang remuk selepas terbabit kemalangan. Foto Pembaca Sinar harian
A
A
A

BACHOK - Seorang guru agama sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) maut apabila kereta dipandu terbabit kemalangan dengan sebuah lori pasir tanpa muatan di Kampung Kubang Telaga di sini pada Ahad.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 2 petang itu menyebabkan Nur Ain Fitriah Zakaria, 25, mengalami kecederaan parah dan tersepit di tempat duduk pemandu serta meninggal dunia di lokasi kejadian.

Bapa mangsa, Zakaria Mat, 54, berkata, dia yang berada di tempat kerja di sebuah pejabat kerajaan di Pasir Puteh menerima panggilan daripada penduduk kampung yang memberitahu berhubung kejadian itu.

Menurutnya, anak kedua daripada lima beradik itu dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat dia mengajar di Sekolah Menengah Agama (A) Al-Hidayah Al-Islamiah di Kampung Chap, Bekelam ke rumah mereka yang hanya sejauh 1.5 kilometer dari lokasi kemalangan.

“Anak saya baru setahun pulang dari belajar di Mesir selama empat tahun sebelum ini.

“Dia baru tiga bulan mengajar bahasa Arab di sekolah itu dan pada waktu tersebut biasanya Nur Ain Fitriah memandu pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini pada Ahad.

Menurut Zakaria, semasa kejadian itu, Nur Ain Fitriah memandu kereta jenis Perodua MyVi yang dibeli baharu tiga bulan oleh Zakaria dan dihadiahkan kepada anak perempuannya itu.

Zakaria yang juga Imam Muda Masjid Kubang Telaga tersebut turut menyifatkan mangsa sebagai seorang individu yang baik dan sentiasa patuh nasihat ibu bapa.

Artikel Berkaitan:

“Tiada apa-apa perubahan ditunjukkannya sebelum kejadian ini,” katanya.

Jenazah mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubang Telaga selepas selesai bedah siasat.

Dalam pada itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Pegawai Bomba Kanan II Abdurrashid Ab Rahman berkata, seramai 11 anggota mengambil masa sejam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Kami menggunakan peralatan hidrolik bagi mengumpil besi kereta dan mengeluarkan mangsa.

“Mayat yang dapat dikeluarkan itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin ketika dihubungi pemberita mengesahkan kejadian kemalangan terbabit.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!