Jenazah Cikgu Hasnatul Adilah selamat dikebumikan

Mohd Farouq ketika mahu menjirus air di pusara arwah ibunya di Tanah Perkuburan Islam Tangki Air Ramuan China Besar, di sini, pada malam Ahad.
Mohd Farouq ketika mahu menjirus air di pusara arwah ibunya di Tanah Perkuburan Islam Tangki Air Ramuan China Besar, di sini, pada malam Ahad.
A
A
A

ALOR GAJAH - Jenazah guru wanita yang maut dalam kemalangan di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tangki Air Ramuan China Besar, di sini, pada malam Ahad.

Allahyarhamah Hasnatul Adilah Hassan, 48, yang merupakan guru penolong kanan (GPK) Hal Ehwal Murid (HEM), selamat disemadikan kira-kira jam 8.50 malam.

Sebelum itu, solat jenazah ibu kepada lima orang anak diimamkan oleh anak keempatnya, Muzaffar Shah Saifullizan,19 di Masjid Al Muhtadi, Ramuan China Besar.

Dianggarkan lebih 300 orang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada arwah termasuk saudara mara, rakan taulan dan juga kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Turut memberikan penghormatan terakhir, bapa arwah Hassan Jantan,78, dan anak bongsunya, Mohd Farouq, 12, yang terpaksa dipapah oleh adik beradik yang lain.

Mohd Farouq ditenangkan ahli keluarganya selepas mencium jenazah arwah ibunya di Tanah Perkuburan Islam Tangki Air Ramuan China Besar, di sini, pada malam Ahad.
Mohd Farouq ditenangkan ahli keluarganya selepas mencium jenazah arwah ibunya di Tanah Perkuburan Islam Tangki Air Ramuan China Besar, di sini, pada malam Ahad.

Terdahulu, suasana di masjid hiba apabila Mohd Faruq yang memakai baju pesakit tiba di pekarangan masjid selepas solat Maghrib sebelum dipapah masuk dengan linangan air mata.

Mohd Farouq yang mengalami kecederaan di kaki dilihat tidak dapat menahan sebak ketika menatap wajah arwah dan ditenangkan oleh ahli keluarga.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Ahad melaporkan nahas awal pagi melibatkan bas merempuh treler di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat tu mengorbankan dua penumpang dan pemandu kedua bas persiaran terbabit.

Selain Hasnatul Adilah, turut maut seorang lagi penumpang, Hamzah Ahmad, 60 dan pemandu kedua bas terbabit, Hadi Ashraf Mad Idris, 29.

Polis mengesahkan Hasnatul Adilah meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Hadi Ashraf ketika dalam perjalanan ke Hospital Muadzam Shah.

Mangsa ketiga, Hamzah Ahmad, 60, yang juga pembantu operasi SK Jeram meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!