Ada peringkat lebih tinggi terlibat isu rasuah daftar nikah di Perlis - SPRM

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki ketika sidang media pada Pertandingan Akhir dan Majlis Perasmian Penutupan Debat Antirasuah Institut Pengajian Tinggi Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2024 di Universiti Teknologi Petronas (UTP) hari ini. Foto Bernama

A
A
A

PARIT - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) percaya ada individu di peringkat lebih tinggi terlibat dalam kes penerimaan suapan berjumlah lebih RM1 juta dalam pengurusan pendaftaran pernikahan di Perlis.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, berdasarkan siasatan dilakukan ke atas tiga suspek termasuk seorang pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) mendapati, ada kemungkinan penglibatan pihak lain.

"Setakat ini belum ada tangkapan baharu, namun demikian saya tidak menolak kemungkinan ada peringkat lebih tinggi yang terlibat.

"Di sini pentingnya untuk diketahui ke mana wang itu pergi dan siapa lagi yang terlibat dalam skandal mendaftarkan mereka yang ingin berpoligami di Thailand dengan secara tidak betul," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Pertandingan Debat Anti Rasuah Institut Pendidikan Tinggi Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2024 di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Tronoh di sini pada Ahad.

Azam (dua dari kanan) bersama barisan pendebat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dinobatkan sebagai johan Pertandingan Debat Anti Rasuah Institut Pendidikan Tinggi Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2024 di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Tronoh pada Ahad.

Beliau berkata, siasatan dijalankan SPRM berkait kes itu juga akan menjurus untuk mengesan pasangan terlibat kerana memilih jalan mudah menggunakan ejen di jabatan agama Islam untuk mendaftarkan pernikahan dengan menggunakan wang rasuah.

"Dalam siasatan ini, kita tidak ada keperluan untuk membuat penyiasatan kenapa mereka bernikah dan berpoligami di Thailand.

"Pentingnya, pasangan ini apabila balik Malaysia terutama di Perlis, mereka daftarkan pernikahan dengan cara yang tidak mengikut prosesur iaitu secara rasuah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Azam berkata, SPRM telah membuat permohonan untuk membekukan akaun tiga suspek yang ditangkap dan disyaki terlibat dalam sindiket berkenaan.

"Langkah itu bagi membolehkan pasukan siasatan mengetahui apa yang telah berlaku dengan wang yang masuk ke dalam akaun mereka dan apa yang telah dibelanjakan," katanya.

Tempoh reman tiga suspek berusia 25 hingga 52 tahun telah dilanjutkan selama tiga hari lagi sehingga 12 Jun ini.

Selain pegawai kanan JAIPs yang menjadi suspek utama, dua lagi yang ditahan merupakan imam masjid dan anaknya yang juga pemilik syarikat bertindak sebagai perunding dalam menguruskan urusan pernikahan di Perlis.

Mereka ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung penerimaan suapan berjumlah RM1,183,140 dalam pengurusan pendaftaran pernikahan di Perlis sejak April 2022 sehingga Jun 2023

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!