Pantau langkah penyasaran subsidi diesel, elak kesan negatif ke atas rakyat - Takiyuddin

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menyuarakan kebimbangan berhubung pelaksanaan penyasaran subsidi diesel terutama kemungkinan kesan negatif ke atas kehidupan rakyat.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takuyiddin Hassan berkata, keputusan kerajaan itu memerlukan pemantauan mengenai keberkesanan secara dekat oleh dan semua langkah perlu hendaklah diambil segera sekiranya terdapat tanda-tanda perjalanannya terseleweng atau tidak menepati sasaran.

Beliau turut bimbang kemampuan kerajaan untuk memastikan matlamat utama yang digariskan dicapai dalam tempoh yang munasabah.

“Pas mengalu-alukan matlamat baik yang digariskan kerajaan berhubung langkah ini tetapi bimbang kesan negatifnya kepada rakyat.

“Dalam konteks ini, Pas berharap golongan sasaran seperti pengeluar, perkhidmatan pengangkutan, petani dan kumpulan berpendapatan rendah akan diliputi sepenuhnya bawah langkah pengecualian yang disediakan melalui proses pendaftaran yang mudah diakses.

“Ini termasuk peranan proaktif agensi terbabit memastikan mereka dikesan dan dibantu sewajarnya. Kerenah atau ketidakcekapan birokrasi misalnya tidak harus menjadi penghalang dalam hal ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum itu dalam satu sidang media Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang membabitkan penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran, yang dilaksanakan serentak dengan bantuan bersasar untuk sektor logistik serta pengagihan bantuan tunai Budi Madani bermula tengah malam Isnin.

Beliau berkata, kerajaan menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter bermula pada tengah malam ini di stesen minyak seluruh Semenanjung Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, penyasaran semula subsidi dilakukan kerajaan adalah memastikan ia memanfaatkan golongan yang benar-benar layak sahaja dan mahu ketirisan yang amat merugikan rakyat dan negara dihentikan.

Jelas Amir Hamzah, dengan langkah itu juga kerajaan menjangkakan pengurangan serta-merta kerugian daripada aktiviti ketirisan yang boleh membawa kepada penjimatan sebanyak RM4 bilion setahun.

Tambah beliau, penjimatan yang diperoleh kerajaan daripada langkah penting itu akan memastikan terdapat lebih banyak sumber untuk disalurkan ke dalam sektor kritikal lain yang secara langsung akan meningkatkan kualiti hidup rakyat, termasuk infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan pendidikan untuk anak-anak kita.

Dalam pada itu, Takiyuddin juga bimbang kemampuan kerajaan menangani isu kebocoran serius, terutama daripada aktiviti penyeludupan diesel ke negara jiran yang dianggarkan berjumlah kira-kira 3 juta liter sehari.

“Agensi keselamatan di sempadan, termasuk Jabatan Kastam Diraja, mempunyai peranan besar yang perlu digembleng sepenuhnya bagi memperkukuh mekanisme penyasaran subsidi sebaiknya.

“Dalam pada itu, Pas juga berharap kerajaan akan meningkatkan peranan pemantauan dan penguatkuasaan domestik bagi menghalang pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga atau memanipulasi pasaran yang sudah tentu akan memberi kesan negatif ke atas ekonomi dan kehidupan rakyat,” ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!