Budak flat juga mahu tempat bermain

Kawasan yang terhad menyebabkan kanak-kanak di kawasan perumahan flat sukar untuk bermain. Foto Facebook Siti Hajar Rahman
Kawasan yang terhad menyebabkan kanak-kanak di kawasan perumahan flat sukar untuk bermain. Foto Facebook Siti Hajar Rahman
A
A
A

SHAH ALAM - Kanak-kanak yang tinggal di kawasan perumahan flat atau apartment kadangkala mengalami masalah untuk melakukan aktiviti riadah bersama rakan sebaya kerana tiada tempat sesuai sehingga mengundang rasa kurang senang jiran tetangga.

Ia susulan hantaran yang dibuat oleh pengguna Facebook, Siti Hajar Rahman mengenai masalah ruangan kawasan beriadah yang sering menjadi tumpuan kanak-kanak bermain bola sepak sehingga terkena kereta milik penduduk di kawasan perumahan itu.

Perkara tersebut telah mengundang kemarahan pemilik kenderaan dan kadangkala bola turut dirampas menyebabkan anak-anak itu akan berlari ketakutan.

Mengulas lanjut, menurut ibu kepada seorang cahaya mata itu, mereka pernah menyuarakan cadangan untuk membina pagar di kawasan tersebut kepada pihak pengurusan, namun sehingga kini masih tiada penyelesaian.

Siti Hajar berkata, perkara tersebut perlu dipandang serius apabila anak-anak di kawasan berkenaan sering mengadu tidak dapat bermain kerana dimarahi oleh jiran tetangga sehingga mereka buntu untuk melakukan aktiviti di waktu petang.

“Kita faham kadangkala budak-budak ini bermain terkena harta benda termasuk kenderaan di sekitar taman permainan tetapi pihak pengurusan perlu bertindak supaya tidak ada lagi hal seperti ini berbangkit sehingga jiran kurang senang.

“Sebelum ini ada juga yang suarakan supaya pasang pagar di kawasan tempat bermain tetapi perkara tersebut terkubur begitu sahaja. Tiada apa-apa tindakan.

“Tempat sepatutnya mereka main tak boleh buat sebarang aktiviti sebab takut merosakkan harta benda termasuk kenderaan berhampiran, main di koridor mengganggu jiran menyebabkan anak-anak ini tersepit dan dilema,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Menurut wanita berusia 37 tahun itu, setiap pemilik rumah di kawasan kejiranan mempunyai hak untuk mempertahankan harta benda mereka, namun pada masa yang sama perlu bertoleransi bagi mencapai kata sepakat supaya hubungan silaturahim antara masyarakat tidak terputus.

Tambahnya, fasiliti yang lebih selamat membantu penduduk atau komuniti setempat untuk beriadah dan tidak menganggu jiran tetangga lain.

“Budak-budak yang membesar di kawasan itu turut menghadapi isu yang sama termasuk anak saya. Anak-anak ini sekali sahaja mereka membesar. Kita kena bersikap adil dengan semua orang.

“Kalau boleh sediakan kawasan yang selamat untuk mereka main atau cuba cari alternatif lain untuk selesaikan masalah ini,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!