25 syarikat Pengelola Jemaah Haji lalui proses penilaian ketat

Anuar Ahmad
Anuar Ahmad
A
A
A

MAKKAH - 25 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dipilih bagi musim 1445H/2024M telah melalui proses penilaian dan saringan yang ketat oleh Tabung Haji (TH) bagi memastikan perkhidmatan kepada jemaah haji Malaysia berada pada tahap terbaik.

Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji, Anuar Ahmad berkata, setiap tahun selepas tamat musim haji, setiap syarikat PJH ini perlu memohon semula lesen kerana TH tidak memberikan lesen untuk tempoh masa yang lama.

Beliau berkata, pihaknya diberi tanggungjawab menyelaras pergerakan PJH yang membawa jemaah haji dari tanah air hingga ke Tanah Suci serta perlu memantau 30 bangunan penginapan di Makkah.

“Bagi semua syarikat yang dilesenkan, terdapat terma dan syarat yang perlu mereka patuhi. Mereka dinilai termasuk daripada jemaah haji itu sendiri. Setiap tahun selepas tamat musim haji, syarikat PJH ini perlu memohon semula lesen kerana TH tidak memberikan lesen untuk tempoh yang lama hanya setahun sahaja.

“Ini bagi memastikan PJH yang dilesenkan berada dalam tahap terbaik. Orang ramai boleh pergi dengan PJH ini, Insya-ALLAH terjamin kerana mereka melalui proses penilaian dan saringan yang ketat,” katanya dalam sidang media pada Khamis.

Beliau berkata, antara penilaian yang dibuat adalah syarikat ini perlu ada tiga tahun penyata kewangan, mempunyai pengalaman membawa jemaah umrah serta mempunyai lesen pelancongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Anuar berkata, cabaran yang dihadapi pihaknya adalah ketika operasi Masyair nanti, yang memerlukan perancangan rapi bagi menyusun pergerakan kesemua jemaah haji PJH bergerak dari Makkah sehingga ke lokasi terakhir di Mina.

“Selain cabaran menyelaraskan pergerakan semua jemaah dalam PJH dari tanah air ke Tanah Suci, Pejabat Operasi PJH juga berhadapan dengan cabaran ketika operasi Masyair.

Artikel Berkaitan:

“Cabaran ini termasuk menyusun pergerakan jemaah daripada hotel di Makkah ke Arafah, Muzdalifah dan Mina. Dalam satu bas hanya memuatkan 45 orang penumpang. Jadi, pengaturan jemaah haji dari satu sektor ke sektor yang lain perlu diselaraskan,” katanya.

Menurutnya, kesemua 25 syarikat PJH ini perlu berusaha mendapatkan jemaah haji daripada 31,600 kuota yang diberikan kepada Malaysia.

“Jemaah yang terima surat tawaran boleh memilih sama ada untuk kekal bersama muassasah ataupun memilih PJH dengan pakej-pakej yang tertentu,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kadar harga yang ditawarkan oleh setiap syarikat PJH, Anuar berkata, harga bagi setiap pakej adalah dari RM50 ribu sehingga melebihi RM200 ribu.

“Penentuan harga ini bergantung kepada servis yang mereka berikan contohnya, penerbangan kelas perniagaan, penginapan berhampiran dengan masjid, penyediaan makanan dan lain-lain,” katanya.

Menurutnya, untuk mendapatkan maklumat lanjut orang ramai boleh menyemak syarikat yang dilantik ini melalui laman web TH dan juga boleh hadir mana-mana pejabat cawangan TH seluruh Malaysia.

“Selain itu, program karnival yang diadakan TH juga memberi informasi kepada umum berhubung syarikat-syarikat yang dilesenkan pada tahun tersebut.

“Tahun ini merupakan tahun kedua program karnival ini diadakan yang telah dihadiri lebih 16,000 orang dan kita lihat permakluman itu lebih meluas,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!