Vape: Perlu kawalan lebih baik, bukan larangan - MRECA

Foto hiasan. Gambar kecil: Adzwan
Foto hiasan. Gambar kecil: Adzwan
A
A
A

SHAH ALAM - Pemain industri rokok elektronik tidak bersetuju dengan langkah larangan penggunaan dan penjualan vape oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana bakal menjejaskan 3,500 pengusaha.

Presiden Persatuan Peruncit Peranti dan Cecair Rokok Elektronik (MRECA), Datuk Adzwan Ab Manas berkata, produk vape memerlukan kawalan yang lebih baik bukan hanya larangan penggunaan atau penjualan semata-mata.

Menurutnya, vape merupakan produk alternatif kepada rokok tembakau dan ia diiktiraf pelbagai institusi kesihatan awam antarabangsa sebagai produk kurang mudarat berbanding rokok tembakau.

“Pihak industri tidak bersetuju dengan langkah larangan penggunaan dan penjualan vape kerana akan menjejaskan ramai pengusaha yang menyediakan pekerjaan kepada lebih 30,000 kakitangan.

“Langkah untuk mengawal selia produk vape di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) adalah langkah yang tepat. Tetapi kami juga mohon supaya KKM melibatkan pemain industri dalam penggubalan peraturan yang akan diperkenalkan.

“Tahun lalu, United Kingdom (UK) telah memulakan inisiatif untuk memberikan satu juta vape secara percuma kepada perokok di negara itu supaya mereka beralih kepada produk yang kurang mudarat,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurut Adzwan, pemain industri memohon agar langkah tersebut tidak dilakukan dan semua pihak dapat mencari titik tengah bagi menyelesaikan masalah itu terutama dalam menggubal undang-undang berkaitan produk vape serta tembakau.

Tambahnya, produk vape perlu dilihat sebagai kaedah yang boleh membantu masalah ketagihan merokok.

Artikel Berkaitan:

“Kami ambil maklum bahawa KKM ingin membendung penggunaan rokok elektronik dalam kalangan individu bawah umur tetapi penyamaan peraturan untuk produk vape dan rokok tembakau adalah langkah yang tidak sepatutnya dibuat.

“Ia memberikan mesej yang salah bahawa produk vape tiada beza dengan rokok tembakau walaupun terbukti kurang mudarat,” tegasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!