Pulau Pinang tolak tawaran Muhammad Sanusi
SUNGAI BAKAP - Kerajaan Pulau Pinang menolak tawaran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor untuk menjual bekalan air bersih bagi mengatasi isu air yang berlaku di Nibong Tebal khususnya di kawasan Sungai Bakap.
Sebaliknya Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengingatkan kembali Muhammad Sanusi agar terlebih dahulu menjaga negerinya yang masih banyak kawasan berdepan masalah bekalan air.
Kon Yeow mengakui Pulau Pinang sedang berdepan cabaran air di beberapa kawasan tertentu namun pada keseluruhannya beliau berkata, pembekalan air masih terjamin keselamatannya.
"Kita akui di Pulau Pinang (berdepan masalah air) disebabkan peningkatan ekonomi industri dalam beberapa tahun ini, kita memang menghadapi cabaran pembekalan yang mencukupi setiap masa.
"Ini kerana permintaan sudah meningkat dengan mendadak, lagi pun kita ada kadar tarif yang paling rendah dan kadar penggunaan yang paling tinggi dalam negara, jadi kita perlu memahami cabaran ini," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, di sini pada Ahad.
Pengerusi DAP Pulau Pinang itu berkata, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sudah pun melaksanakan lapan projek untuk memastikan bekalan air dapat dipulihkan di semua kawasan yang terkesan termasuk di sebahagian Sungai Bakap menjelang 2028.
Selain itu katanya, kerajaan negeri juga sudah mempunyai rancangan membina Loji Rawatan Air (LRA) di tepi Sungai Muda malah satu lagi LRA di Sg Dua juga akan siap pada September ini.
"Kita akui ada cabaran tapi kita tidak elak dari tanggungjawab sehingga Ketua Menteri yang juga Pengerusi PBAPP berani membincangkan isu air ini di Sungai Bakap pada malam ini.
"Kalau orang lain mungkin tak berani mai sampai Sungai Bakap untuk menghadapi rakyat yang terkesan dengan masalah air di negeri ini.
"Tapi kita tak akan lari dari tanggungjawab, apabila ada masalah kita mencari ikhtiar, mencari penyelesaian dan melaksanakan projek-projek untuk menambah baik bekalan air, bekalan elektrik, perkhidmatan IWK dan juga projek-projek jalan untuk mengatasi masalah lalu lintas di negeri ini," katanya lagi.
Pada Ahad Sinar Harian melaporkan kerajaan negeri Kedah sedia menjual bekalan air bersih kepada Pulau Pinang bagi mengatasi isu air yang membelenggu penduduk Nibong Tebal sejak sekian lama khususnya di kawasan Sungai Bakap.
Menteri Besar Kedah berkata, pihaknya mempunyai lebihan air bersih di LRA Lubuk Buntar dan bersedia untuk disalurkan ke negeri ini sekiranya kerajaan negeri Pulau Pinang ingin membeli.
Menurutnya, sebagai negeri maju yang mempunyai pelan khas 'The Greater Penang' dari Kerajaan Persekutuan sejak sekian lama, tidak sepatutnya Pulau Pinang berdepan dengan masalah air.
Sementara itu, Kon Yeow turut mendakwa Pengarah Pilihan Raya Pas itu sengaja memainkan sentimen perkauman walaupun dalam isu air di negeri ini
Beliau turut mengingatkan kepada penduduk Sungai Bakap supaya menolak kempen yang berbaur hasutan, menyentuh sensitiviti agama dan perkauman.
"Saya dimaklumkan ketika beliau berada di Sungai Bakap pada pelancaran jentera PN Sabtu lalu antara ucapan yang disentuh ialah mengapa isu kekurangan bekalan air, kurang tekanan air berlaku di Sungai Bakap iaitu satu kawasan yang majoriti Melayu dan bukannya di Tanjong.
"Kita semua tahu dalam masalah air ini ia bukan isu perkauman tetapi mereka sengaja nak mainkan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!