Itali menang tipis ke atas Bosnia Herzegovina
ITALI menewaskan Bosnia Herzegovina, 1-0 Stadium Carlo Castellani, Empoli ketika pemain tengah Davide Frattesi menjaringkan gol menakjubkan pada separuh masa pertama dalam aksi pemanas badan terakhir penyandang juara itu menjelang Kejuaraan Euro 2024 yang bermula di Jerman minggu depan.
Satu lagi persembahan cemerlang Frattesi, yang merupakan penjaring terbanyak Azzurri sejak penampilan sulungnya pada Jun 2022, setelah mengumpul lima gol dalam 15 perlawanan.
Bagaimanapun di padang satu lagi persembahan yang agak mengecewakan dijelmakan Itali yang mendahului pada minit ke-38 apabila Frattesi melakukan penyudah selepas menerima hantaran lintang Federico Chiesa.
"Ya, ada ruang untuk penambahbaikan. Jika kami mahu nampak lebih bersedia di sana, kami perlu memasukkan sesuatu yang lebih dan kami akan sampai ke sana.
"Di sini, kami mencipta peluang, tetapi perlu mengurusnya dengan lebih baik kerana kami akan mempunyai lebih sedikit daripada mereka dalam kumpulan. Bagaimanapun, kami melihat beberapa perkara yang baik," kata Frattesi.
Sebagai rekod, Itali berada dalam Kumpulan B Euro 2024 bersama juara tiga kali Sepanyol, Croatia dan Albania.
Situasi itu juga menyaksikan pengendali
Luciano Spalletti berdepan dengan banyak perkara yang perlu difikirkan menjelang Euro apabila juara bertahan itu sering tumpul di depan gawang dengan penyerang Gianluca Scamacca mensia-siakan beberapa peluang.
Malah tuan rumah juga hampir ketinggalan pada minit awal, namun digagalkan kecekapan Gianluigi Donnarumma melakukan penyelamatan yang baik untuk menafikan rembatan rendah pemain tengah Bosnia, Haris Hajradinovic.
Penjaga gawang Itali itu juga melakukan satu lagi penyelamatan minit ke-18 apabila Bosnia, yang berada di ranking ke-74 dan gagal layak ke Euro 2024, melakukan percubaan menerusi Jusuf Gazibegovic.
"Kami telah melakukan apa perlu lakukan berdepan Bosnia.
“Kami yakin mempunyai pasukan yang bagus, dan hanya perlu masuk ke dalam suasana perlawanan sebenar.
"Kami mempunyai dua pasukan yang hampir berbeza dalam perlawanan ini, biarpun begitu kami mempunyai peluang untuk memberitahu pemain-pemain sesuatu perlu diperbaiki segera kerana kami tidak mempunyai banyak masa," kata Spalletti.
Spalletti melakukan sembilan pertukaran daripada pasukan yang seri 0-0 menentang Turkiye, mengekalkan penyerang Chiesa dan pemain tengah Jorginho dalam kesebelasan utama.
Itali memulakan kempen Euro 2024, menentang Albania pada 16 Jun sebelum menentang Sepanyol pada 21 Jun diikuti Croatia empat hari kemudian.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!