Aliran masuk bersih pelabur asing RM535 juta minggu lepas - MIDF Research

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelabur asing terus menyokong ekuiti Malaysia minggu lepas, dengan aliran masuk bersih berjumlah RM535.0 juta, selepas jualan bersih dalam masa singkat pada minggu sebelumnya, kata MIDF Research.

Ia merupakan minggu dagangan singkat bersempena dengan cuti umum Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Isnin.

Dalam laporan aliran dana mingguan terkini yang dikeluarkan pada Isnin katanya, pelabur asing membuat belian bersih sebanyak RM253.7 juta pada Selasa, RM163.6 juta pada Khamis dan RM186.8 juta pada Jumaat. Mereka membuat jualan bersih -RM69.1 juta pada Rabu.

Sektor dengan aliran masuk asing bersih tertinggi pada minggu lepas adalah utiliti (RM167.5 juta), pengangkutan dan logistik (RM134.5 juta), dan teknologi (RM115.7 juta).

"Sektor yang mencatat aliran keluar asing bersih tertinggi adalah perladangan (-RM108.2 juta), telekomunikasi dan media (-RM32.1 juta) dan tenaga (-RM22.4 juta),” katanya.

Sebaliknya, institusi tempatan kembali membuat jualan bersih pada -RM293.5 juta selepas belian bersih dalam masa singkat pada minggu terdahulu.

Malah, peruncit tempatan, selepas melakukan belian bersih dalam masa singkat pada minggu sebelumnya, kembali kepada jualan bersih, dengan menjual ekuiti bernilai -RM242.5 juta. Mereka membuat jualan bersih pada sepanjang minggu.

Mengenai penyertaan, purata jumlah dagangan harian menyusut -6.3 peratus bagi peruncit, -2.7 peratus bagi institusi tempatan dan -21.7 peratus melibatkan pelabur asing. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!