Projek kerajaan, GLC guna BIM bermula 1 Ogos
PETALING JAYA - Perisian Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) akan diperluaskan penggunaan ke semua peringkat khususnya dalam projek berkaitan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 1 Ogos ini.
BIM merupakan proses penyediaan dan pengurusan model tiga dimensi (3D) dalam reka bentuk jalan, jambatan dan bangunan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, BIM akan diguna pakai bagi projek bernilai RM10 juta dan ke atas.
"Ada banyak kebaikan menggunakan BIM antaranya mengurangkan kesilapan dalam reka bentuk, mengurangkan kos dan mempercepatkan pembinaan.
"BIM juga boleh berkongsi maklumat secara telus kepada semua pihak sama ada jurutera, arkitek, juruukur atau kontraktor terlibat," katanya selepas pelancaran Asset Management Roundtable Series 2024/2025 dan Global Maintenance Day 2024 berlangsung di UEM Edgenta Learning Centre di sini.
Katanya, satu kos perisian BIM dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bernilai RM45,000 dan akan menjadi lebih murah apabila jumlah penggunaannya semakin bertambah.
Menurutnya, satu mesyuarat pada minggu ini akan diadakan bagi memutuskan perincian perkara yang berkaitan pendekatan teknologi baharu berkenaan.
"Contohnya CIDB yang di bawahnya terdapat enam akademi binaan Malaysia akan membuat latihan kepada kontraktor.
"Mungkin selepas ini ada kos tertentu yang akan dimasukkan dalam kontrak berkaitan seperti tender dan sebagainya, ia turut akan diperincikan dan dimaklumkan kemudian," katanya.
Tambahnya, BIM telah lama dilaksanakan cuma tidak diuar-uarkan antaranya projek Sekolah Kebangsaan Taman Scientex, Johor Bahru selain Institut Kanser Negara, Putrajaya serta bangunan Merdeka 118.
Tambah beliau, BIM bukan hanya boleh digunakan ketika pembinaan malah dijadikan rujukan untuk penyelenggaraan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!