Polis belum terima laporan kes jemaah haji terkandas di KLIA
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum menerima sebarang laporan berkaitan kes melibatkan jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setakat ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, semakan berkenaan dibuat berdasarkan pengaktifan Pusat Sehenti Jemaah Haji Terkandas di Ibu Pejabat Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Setakat ini tiada sebarang laporan diterima berkaitan kes melibatkan jemaah haji terkandas.
"Bagaimanapun semakan lanjut dan pemantauan sememangnya dijalankan pihak polis dari semasa ke semasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di pejabat JSJK Bukit Aman di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Ramli berkata, Pusat Sehenti Jemaah Haji Terkandas ini memulakan operasi jam 8 pagi Isnin dan akan tamat pada jam 12 tengah malam, 21 Jun ini.
"Seramai 40 pegawai dan anggota daripada pasukan khas ditugaskan selama 11 hari bagi membantu kes berkaitan.
"Pasukan ini akan memberi kemudahan kepada mana-mana jemaah haji sekiranya terkandas di KLIA sebelum berlepas atau jemaah haji yang terkandas di Saudi serta tidak dapat mengerjakan haji," katanya.
Tambahnya, pasukan khas ini turut mendapat mendapat kerjasama Lembaga Tabung Haji dan Kementerian Pelancongan.
"Pasukan bertindak ini akan memantau dan menerima sebarang laporan berkaitan dan akan kenal pasti sebarang kesalahan berkaitan mengikut peruntukan undang-undang," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!