Penyelarasan semula subsidi diesel perlu secara berkala - Dr Akmal
SHAH ALAM - Penyelarasan semula subsidi diesel perlu dilakukan secara berkala dan bukanlah secara total dan mengejut seperti yang diumumkan.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berkata, kesan penarikan subsidi diesel ini mengakibatkan harga diesel naik dengan begitu mendadak dari RM 2.15 kepada RM 3.35 iaitu kenaikan sebanyak RM1.20 seliter.
Menurutnya, kenaikan yang besar dan tajam ini sudah pasti mendatangkan kesan kepada ekonomi semasa dan orang ramai.
“Dengan kaedah pembayaran subsidi bersasar ke golongan yang memerlukan masih lagi di peringkat awal dan sudah pasti akan ada masalah-masalah yang tidak boleh dielakkan seperti kelulusan permohonan yang dipohon dan keciciran golongan yang memerlukan, impak ekonomi kepada pengguna tetap akan berlaku dan tidak dapat dielakkan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Jelasnya, Pemuda UMNO mengesyorkan agar subsidi diesel ini perlu dilaksanakan secara berkala.
“Adalah lebih elok jika ia boleh dilaksanakan dengan penarikan subsidi secara kecil dahulu misalnya RM0.20, atau pada kadar 10 peratus minimum sehinggalah cabaran-cabaran awal dapat diatasi dan situasi ekonomi semasa kembali stabil barulah mula dengan jumlah yang lebih besar secara berkala.
“Secara umum, Pemuda UMNO menyokong polisi pengstrukturan subsidi. Polisi ini turut dicadangkan oleh kerajaan BN dahulu walaupun dibantah teruk pada ketika itu,” katanya,
Akmal berkata, pihaknya faham akan keperluan yang lebih besar dalam usaha untuk membina negara namun dalam masa yang sama biarlah penarikan subsidi ini dilakukan secara berkala agar tidak menyebabkan kejutan ekonomi semasa yang mendadak.
“Kita tidak mahu apabila polisi ini dijalankan, lebih banyak keburukan dari kebaikan yang rakyat perlu tanggung,” ujarnya
Semalam, kerajaan menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter bermula Isnin selaras dengan perlaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut.
Menteri Kewangan Il, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penetapan dibuat mengikut harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula 'Automatic Pricing Mechanism'.
Menurutnya, untuk tempoh seterusnya, harga diesel semasa akan diumumkan pada setiap minggu, mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!