Taiwan bukan pasukan belasahan

Gary White
Gary White
A
A
A

PENGENDALI Taiwan, Gary White menegaskan skuad kendaliannya itu bukan pasukan yang mudah untuk dibelasah oleh skuad Harimau Malaya dalam aksi terakhir Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa.

Menurut White, mereka tidak pernah sekali-kali memikirkan untuk tewas dengan jaringan besar biarpun pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon mahu memburu sekurang-kurangnya lapan gol dalam perlawanan itu.

Malah, dia juga percaya para pemainnya akan dapat melakar kejutan memenangi perlawanan itu sekali gus meraih mata untuk menamatkan kempen kelayakan itu dengan positif.

"Kami tidak datang ke sini untuk kalah besar. Anda boleh tanya Kim Pan-gon, menentang pasukan kami bukan satu perlawanan mudah. Kami tidak akan menyerah kalah dan mahu menang.

"Kami akan memberikan yang terbaik dan cuba menang. Kita akan tengok apa yang berlaku dalam perlawanan itu nanti," katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan pada Isnin.

Dalam aksi pusingan pertama kumpulan, skuad Harimau Malaya hanya mampu menang 1-0 ke atas Taiwan di Stadium Municipal Taipei pada November tahun lalu walaupun dibarisi beberapa pemain utama seperti Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi.

Namun, situasi kali ini berbeza apabila Pan-gon kehilangan ramai pemain utama termasuk Faisal dan Arif Aiman dengan misi untuk meraih sekurang-kurangnya lapan gol bagi membuka peluang ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!