Nahas rombongan guru: Jenazah Cikgu Dahlia selamat dikebumikan
ALOR GAJAH - Jenazah seorang lagi mangsa kemalangan bas di Jalan Kuantan-Segamat, Pahang yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Dahlia Ahmad, 52, selamat dikebumikan, di sini pada Isnin.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tuang pada jam 10.50 pagi tadi dan turut dihadiri kira-kira 200 ahli keluarga, kenalan serta rakan sekerja yang hadir memberikan penghormatan terakhir mereka.
Terdahulu, jenazah disolatkan di Masjid Aminin Kampung Sungai Tuang.
Dahlia meninggal dunia pada jam 9.30 malam tadi ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.
Mangsa antara empat individu terkorban dalam nahas di Jalan Kuantan-Segamat pada awal pagi Ahad membabitkan Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Hasnatul Adilah Hassan, 48, pemandu kedua bas Hadi Asyraf Mad Idris, 29, dan pembantu operasi sekolah Hamzah Ahmad, 60.
Dalam nahas jalan raya itu, bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.
Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa rombongan guru dari sekolah itu bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!