Indonesia bangkit, Malaysia?
Baru-baru ini dilaporkan pemerintah Indonesia berjaya meraih pelaburan berjumlah AS$22.8 bilion (RM92.41 bilion) dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas kunjungan hormat Presiden Joko Widodo. Sebanyak 16 perjanjian melibatkan industri tenaga, petrokimia dan teknologi itu dijangka menyumbang banyak kepada pelan ‘Indonesia Maju’ yang diilhamkan Jokowi sendiri.
Sama ada kebetulan ataupun tidak, kunjungan tersebut berlaku selepas pendedahan kontroversi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai sembilan rakaman perbualan telefon melibatkan bekas pemimpin nombor satu negara dan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan. Tatkala ketidakstabilan politik dan agenda politik populisme yang berleluasa di dalam negara, Indonesia mengambil peluang itu untuk maju ke hadapan.
Tindakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya mendedahkan rakaman perbualan telefon berkenaan kepada media walaupun beliau tidak mempunyai kewajipan untuk berbuat demikian dari segi undang-undang hanyalah mendedahkan bagaimana lemahnya tahap keselamatan peribadi dan privasi negara. Bayangkan sekiranya pemimpin nombor satu negara juga boleh dipintas dan dirakam perbualannya, bagaimanapula rakyat biasa seperti kita semua.
Lebih malang tindakan itu jelas tidak menghormati hubungan bilateral antara Malaysia dan negara sahabat apabila tergamak untuk mendedahkan rakaman yang melibatkan Sheikh Mohamed sendiri.
Kebobrokan dan kegelojohan seorang ketua agensi kerajaan akhirnya mencipta persepsi yang buruk mengenai institusi kerajaan yang sungguh mudah dimanipulasikan demi kepentingan politik.
Kesudahannya, imej Jokowi dan Sheikh Mohamed di pekarangan Istana Qasr Al-Watan menerima tabik hormat daripada Angkatan Tentera UAE menjadi sejarah dan Jokowi sendiri menjemput Sheikh Mohamed untuk menjadi Ahli Jawatankuasa Pemandu (Steering Committee) bagi membina ibu negara baharu Republik Indonesia di Kutai Kartanegara, Kalimantan Timur.
Pelaburan
Rata-rata dunia khususnya komuniti pelaburan antarabangsa nyata teruja dengan perancangan Presiden Jokowi itu. Sejurus selepas memenangi Pilihan Raya Presiden (Pilpres) pada tahun lepas, Presiden Jokowi tidak berlengah dan menggerakkan usaha untuk menarik lebih AS$400 bilion pelaburan dalam tempoh lima tahun bagi memodenkan negaranya.
Softbank, gergasi pelaburan global yang berpangkalan di Jepun milik billionaire Masayashi Son, juga kini dilaporkan sedang berunding dengan Presiden Jokowi mengenai rancangan pembangunan ibu negara yang baru. Firma yang memiliki aset bernilai AS$280 bilion itu dijangka membuat pelaburan bernilai AS$40 bilion bagi projek berkenaan. Penglibatan Softbank dalam syarikat gergasi global seperti Ali Baba, Boston Dynamic, Uber dan lain-lain sudah pasti akan menambah nilai kepada visi Indonesia Maju seperti yang dikehendaki Jokowi.
Tuntasnya, Indonesia kini tidak menoleh ke belakang. Kebijaksanaan pemerintah yang meletakkan kepentingan negara dan rakyat sebagai keutamaan daripada terus menerus dibelenggu retorik politik yang memisahkan rakyat harus diteladani semua. Kestabilan politik daripada jiwa besar pemimpin dan rekonsiliasi nasional menjadikan Indonesia sebuah negara yang sangat berpotensi dan disayangi pelabur. Ini boleh dibuktikan dengan prestasi Pasaran Saham Indonesia yang kini mencecah AS$529 bilion (RM2.145 trilion).
Justeru, sudah sampai masanya rakyat Malaysia harus sedar dan bangkit. Hala tuju yang dibawa kerajaan Pakatan Harapan masih samar-samar dan mengelirukan. Pertelingkahan kerusi Perdana Menteri yang tidak kunjung sudah, kecelaruan dasar dan polisi serta ‘keberanian luar biasa’ segelintir pihak yang cuba menyentuh isu sensitif kaum majoriti hanya akan menyebabkan Malaysia terus ketinggalan.
* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!