Pemain badminton mangsa penipuan: Enam akaun bank sindiket dikenal pasti
KUALA LUMPUR - Enam akaun bank dipercayai digunakan sindiket penipuan pelaburan sehingga mengakibatkan pemain beregu campuran negara, Lai Pei Jing mengalami kerugian ratusan ribu ringgit baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan lanjut berdasarkan penipuan pelaburan berasaskan jual beli barangan secara dalam talian masih dijalankan setakat ini.
"Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berkaitan penipuan berkenaan menerusi kerjasama dengan institusi perbankan.
"Enam akaun bank yang digunakan oleh sindiket penipuan itu kini sedang dikenal pasti dari segi butiran dan transaksi kewangan yang berkaitan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini pada Isnin.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Pada 3 Jun lalu, pemain badminton itu mendedahkan kehilangan hampir keseluruhan wang simpanannya kepada satu kumpulan penipuan menerusi satu hantaran di Facebook.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!