Warga emas antara 18 individu ditahan, sindiket tipu libat IKS

Ramli menunjukkan antara suspek ditahan melibatkan sindiket penipuan pelaburan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) menerusi serbuan sekitar Sabah, Selangor dan Perak pada 5 dan 6 Jun lalu.
Ramli menunjukkan antara suspek ditahan melibatkan sindiket penipuan pelaburan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) menerusi serbuan sekitar Sabah, Selangor dan Perak pada 5 dan 6 Jun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Warga emas antara 18 individu ditahan melibatkan sindiket penipuan pelaburan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) menerusi serbuan sekitar Sabah, Selangor dan Perak pada 5 dan 6 Jun lalu.

Sindiket terbabit dipercayai menggunakan nama Jabatan Perdana Menteri turut mengakibatkan nilai kerugian lebih RM2 juta kepada mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, operasi bersepadu dijalankan melibatkan kolaborasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan National Anti-Financial Crime Center (NFCC).

"Hasil serbuan, 18 individu terdiri daripada 12 lelaki dan enam wanita warga tempatan berumur antara 30 hingga 71 tahun ditahan.

"Mereka dipercayai berperanan selaku mastermind, moderator, dan pemilik akaun keldai yang digunakan oleh sindiket penipuan terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini pada Isnin.

Katanya, sindiket ini dipercayai beroperasi sejak tahun 2019 menawarkan pelaburan kononnya berkaitan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah.

"Siasatan mendapati aplikasi Whats App dijadikan sebagai medium untuk berkomunikasi selain perjumpaan bersemuka yang turut dilakukan dengan mangsa-mangsa terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Sindiket ini menawarkan pulangan yang tinggi dalam bentuk hibah antaranya melalui pelaburan RM1,000, pelabur dijanjikan keuntungan RM200,000 dalam tempoh tiga bulan," katanya.

Menurutnya, kesemua mangsa yang terpedaya telah mendepositkan wang melalui pindahan ke beberapa akaun keldai milik syarikat dan perniagaan.

"Bagaimanapun, pada akhirnya mangsa tidak menerima sebarang keuntungan sebagaimana yang dijanjikan.

"Sindiket dipercayai menggunakan nama Jabatan Perdana Menteri untuk meyakinkan mangsa bahawa pelaburan yang dijalankan itu adalah sah," katanya.

Ramli berkata, penyitaan dijalankan di bawah Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 terhadap 15 akaun bank dengan nilai keseluruhan RM69,796.91.

"Penyitaan turut dijalankan di bawah Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001 juga telah dibuat terhadap sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang bernilai anggaran RM75,000.00.

"Tindakan pembekuan di bawah Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 juga turut dilaksanakan terhadap 38 akaun bank dengan nilai keseluruhan RM108,131.93," katanya.

Jelasnya, 15 laporan polis telah diterima setakat ini dengan jumlah kerugian keseluruhan RM2,979,788.

"Kesemua individu yang ditahan sedang disambung reman masing-masing sehingga 10, 11 dan 12 Jun 2024 dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan sedang dijalankan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!