[VIDEO] Kontena terbang: SPRM beri amaran keras kepada pihak terlibat
KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi amaran keras kepada pihak yang terlibat dengan sindiket penyeludupan membawa masuk barang seludup melalui kontena di pelabuhan negara ini, termasuk di Sabah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, perkara itu kini dalam pemerhatian SPRM di semua negeri yang mempunyai pelabuhan.
"Saya nak beri amaran sini kerana ini dalam perhatian kami dan juga mana-mana negeri yang ada pelabuhan. Ini adalah kerjasama SPRM dengan kastam untuk membanteras ketirisan.
"Ketirisan ini berlaku kerana adanya rasuah dan salah guna kuasa terutama mereka yang diberi amanah," katanya selepas hadir pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Antara Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan SPRM dan Ikrar Bebas Rasuah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan SPRM berhubung rampasan dan sitaan barang seludup yang dilaksanakan Jabatan Kastam Diraja Malaysian (JKDM) melibatkan kontena di pelabuhan di negeri ini sejak kebelakangan ini.
Azam berkata, ia antara usaha pihak SPRM untuk mengembalikan wang rakyat dengan memastikan cukai dibayar dipungut oleh JKDM sebagai agensi yang bertanggungjawab.
"Kita akan mengenakan undang-undang sedia ada di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) bagi mengembalikan wang ini kepada rakyat.
"Contohnya yang berlaku di Klang baru-baru ini, perkara yang diikrarkan kepada kastam tak betul, ada diikrar sebagai membawa kerusi roda dan sebagainya, rupa-rupanya bila dibuka kontena, babi pun ada, barang elektrik yang sepatutnya dibayar cukai yang lebih tinggi.
"Modus operandi ini berlaku dibanyak tempat di Malaysia," ujar beliau.
Sementara itu, mengulas mengenai isu tangkapan membabitkan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), beliau berkata, siasatan menjurus kepada harta dan kewangan yang diperoleh suspek dalam beberapa tahun lalu akibat salah guna kuasa.
"Setakat ini tiada lagi tangkapan lanjut dan siasatan sedang dijalankan terhadap mereka yang terlibat secara menyeluruh.
"Ini termasuklah terhadap harta dan kewangan mereka yang telah disyaki diperoleh dalam beberapa tahun lepas atas salah guna kuasa mereka," katanya.
Selain itu, katanya, SPRM masih menjalankan siasatan berhubung isu kontrak yang diterima suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Dalam perkembangan lain, Azam berkata, semua pihak yang terlibat dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap diminta mematuhi undang-undang terutamanya di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
"Elakkan amalan-amalan rasuah dan kami daripada SPRM seperti mana kebiasaannya kita akan buka bilik operasi di negeri berkenaan dan di ibu pejabat dan pegawai-pegawai saya akan turun ke bawah untuk memantau isu pilihan raya," katanya.
Ujar beliau, bilik operasi SPRM akan dibuka tidak lama lagi sebaik bermulanya kempen PRK tersebut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!