Rasionalisasi subsidi RON95 masih boleh ditangguh – Pakar ekonomi

Maybank IB menganggarkan kenaikan harga 10 sen seliter petrol RON95 dapat memberi penjimatan sebanyak RM2.5 bilion setahun kepada kerajaan sekiranya rasionalisasi subsidi bahan api itu dilaksanakan. Gambar kecil: Suhaimi
Maybank IB menganggarkan kenaikan harga 10 sen seliter petrol RON95 dapat memberi penjimatan sebanyak RM2.5 bilion setahun kepada kerajaan sekiranya rasionalisasi subsidi bahan api itu dilaksanakan. Gambar kecil: Suhaimi
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan masih boleh menangguhkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON95 dengan menggunakan dividen yang bakal diberikan Petronas tahun ini.

Ketua Ahli Ekonomi Maybank Investment Bank (Maybank IB), Suhaimi Ilias berkata, kerajaan boleh membelanjakan dividen tambahan Petronas untuk menampung sejumlah RM4.1 bilion yang diperlukan untuk mencapai sasaran pengurangan subsidi sebanyak RM11.5 bilion dalam Belanjawan 2024 jika penyelarasan subsidi RON95 ditangguhkan.

"Sudah tentu kerajaan memiliki kuasa dalam memutuskan kuantum dan masa sebenar pelarasan harga petrol berkenaan. Malah, (kerajaan) boleh menangguhkannya pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON95 (daripada yang disasarkan).

"Sebarang kekurangan terhadap RM4.1 bilion yang diperlukan untuk mencapai sasaran Belanjawan 2024 bagi mengurangkan subsidi sebanyak RM11.5 bilion tahun ini boleh ditampung dengan dividen tambahan Petronas berbanding anggaran berjumlah RM32 bilion tahun ini," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Suhaimi memaklumkan, Belanjawan 2024 menyasarkan untuk mengurangkan perbelanjaan subsidi dan bantuan sosial sebanyak RM11.5 bilion.

“Daripada jumlah itu, sejumlah RM7.4 bilion penjimatan telah dicapai menerusi penamatan subsidi elektrik yang membolehkan kerajaan berjimat sebanyak RM4 bilion, subsidi harga ayam (jimat RM1.2 bilion) dan subsidi diesel (jimat RM2.2 bilion).

"Masih ada RM4.1 bilion perlu dikurangkan menerusi rasionalisasi subsidi RON95. Melihat kepada perkara ini, ia akan membabitkan kenaikan harga RON95 bersubsidi pada masa ini iaitu RM2.05 seliter," ujarnya.

Beliau berkata, Maybank IB menganggarkan kenaikan harga 10 sen seliter petrol RON95 dapat memberi penjimatan sebanyak RM2.5 bilion setahun kepada kerajaan sekiranya rasionalisasi subsidi bahan api kenderaan tersebut dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kata Suhaimi, berdasarkan simulasi yang dilakukan pihaknya, kerajaan perlu menaikkan harga diesel sebanyak 33 sen seliter iaitu kenaikan mencapai 16.1 peratus seandainya rasionalisasi subsidi RON95 bersasar bermula 1 Julai depan bagi memperoleh penjimatan RM4.1 bilion pada separuh kedua 2024.

"Jika subsidi RON95 bersasar bermula pada 1 Oktober 2024, untuk mendapatkan penjimatan RM4.1 bilion pada suku keempat 2024, harga RON95 perlu dinaikkan sebanyak 69 sen seliter (33.7 peratus)," tambahnya.

Suhaimi menjelaskan, reformasi fiskal lain yang dilakukan kerajaan pada tahun ini termasuklah menambah baik kecekapan dan pematuhan sistem percukaian, meningkatkan kutipan menerusi pelaksanaan e-invois oleh perniagaan yang dilaksanakan berperingkat bermula 1 Jun lalu.

"Di samping itu, kami menjangkakan kerajaan akan membentangkan Akta Perolehan Kerajaan (GPA) di Parlimen pada tahun ini.

“GPA adalah perundangan penting seterusnya selepas Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) untuk konsolidasi dan reformasi fiskal untuk terus menambah baik tadbir urus fiskal, mengukuhkan disiplin fiskal serta memperkasakan pemantauan kewangan awam," kata beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!