Bom ikan: 4 lelaki etnik Pala’u ditahan di Lahad Datu
LAHAD DATU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menahan empat lelaki etnik Pala'u serta merampas dua bot selepas dipercayai melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di selatan Pulau Kun Kun di sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dr Suzanna Razali Chan berkata, kesemua suspek berumur antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan selepas menerima dua aduan awam pada jam 6.16 petang serta 6.31 petang yang mengesan dua bot berwarna biru dan oren di 2.2 batu nautika di selatan pulau itu.
"Kesemua tahanan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri, tidak memiliki lesen serta nombor pendaftaran bot, selain anggota keselamatan bertugas turut menemukan dua botol bom ikan di atas bot itu," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu Seksyen 26 membabitkan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan termasuk racun dan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM5,000.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Lahad Datu di talian 089-885727 atau MERS 999. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!