Siasatan kes Zayn Rayyan di peringkat akhir?

Pihak polis menutup laluan masuk ke rumah yang disewa oleh ibu bapa arwah Zayn Rayyan di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya Selangor pada Isnin. Foto HISYAMUDDIN AYUB
Pihak polis menutup laluan masuk ke rumah yang disewa oleh ibu bapa arwah Zayn Rayyan di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya Selangor pada Isnin. Foto HISYAMUDDIN AYUB
A
A
A

PETALING JAYA - Benarkah kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin sudah berada pada episod akhir?

Perkara itu menjadi pertanyaan kebanyakan rakyat Malaysia yang prihatin dengan kes malang menimpa kanak-kanak berusia enam tahun itu.

Setelah enam bulan kejadian itu berlalu, perhatian orang ramai kembali tertumpu kepada perkembangan kes tersebut apabila kedua-dua ibu bapa mangsa ditahan reman pihak polis selama tujuh hari pada 1 Jun lalu.

Pada 7 Jun, tahanan reman ibu bapa mangsa disambung selama enam hari lagi.

Dalam tempoh tahanan reman kali kedua itu, pihak polis pada Isnin kembali semula ke rumah lama pasangan tersebut.

Pasukan siasatan selesai menjalankan siasatan di kediaman lama pasangan itu jam 2 petang pada Isnin.

Ibu Allahyarham Zayn dipercayai diminta melakonkan semula kejadian yang berlaku pada hari kejadian kepada pihak polis.

Siasatan berakhir sebaik kenderaan yang membawa Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain meninggalkan kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai, jam 2.08 petang.

Artikel Berkaitan:

Mohd Shuhaily bersama kenderaan dinaiki timbalannya, Deputi Komisioner Fadil Marsus.

Lima minit kemudian semua kenderaan dinaiki pasukan penyiasat dan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) keluar dari lokasi kejadian sebelum laluan yang ditutup ketat oleh pihak polis sejak jam 9.45 pagi dibuka semula secara keseluruhan.

Lokasi penemuan mayat Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya Selangor pada Isnin. Foto HISYAMUDDIN AYUB
Lokasi penemuan mayat Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya Selangor pada Isnin. Foto HISYAMUDDIN AYUB

Berdasarkan tinjauan di lokasi, hanya ibu Zayyan yang juga saksi yang kini berada dalam tahanan polis dibawa ke lokasi bagi tujuan lakonan semula situasi di tempat kejadian.

Sehingga proses siasatan berakhir, kelibat bapa Rayn yang juga dalam tahanan reman polis tidak kelihatan.

Sumber di lokasi kejadian memaklumkan ibu Zayn dibawa ke kediamannya di blok R, Apartment Idaman.

Selain itu, ibu mangsa dipercayai turut dibawa ke kawasan anak sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari kediamannya iaitu lokasi Zayn ditemui mati pada jam 9.50 malam, 6 Disember lalu.

Setakat ini, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung siasatan yang dilakukan kepada pihak media.

Pihak media juga sedang menunggu maklumat lanjut daripada Mohd Shuhaily dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!