Bapa dijel lapan bulan kerana pukul, paksa anak jalan itik
KUALA LUMPUR - Tindakan seorang bapa menyuruh dua anaknya yang berusia 13 dan 15 tahun berjalan itik tanpa henti dan memukul mereka menggunakan jaring raket badminton mengundang padah, apabila dia dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.
Penganggur berusia 35 tahun itu dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah.
Mahkamah memerintahkan hukuman bagi setiap pertuduhan dijalankan secara serentak bermula tarikh tangkap, 1 Jun lalu.
Mengikut semua pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menganiaya anak lelakinya berusia 13 tahun dan anak perempuan, 15, sehingga mungkin menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi di sebuah unit kediaman blok Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kepong Utara, antara jam 9 malam pada 30 Mei sehingga 1 Jun.
Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum menjatuhi hukum, Fadzlin menyoal faktor utama tertuduh bertindak sedemikian sama ada ia berbentuk pengajaran.
Hakim: Jadi, apa tujuan kamu pukul, adakah untuk mengajar?
Tertuduh: Ya, tapi saya tak sangka situasi boleh menjadi seteruk ini.
Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa menganiaya anak lelakinya dengan memukul kaki remaja itu menggunakan jaring yang terpasang pada sebatang raket badminton.
Tertuduh turut melempang muka, memukul badan dan menyuruh anaknya itu berjalan itik di dalam rumah tanpa henti dalam tempoh masa yang lama.
Keesokannya, dia melakukan kesalahan sama terhadap anak perempuan dengan memukul mukanya menggunakan jaring raket badminton.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip memohon tertuduh dikenakan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran agar dia tidak mengulangi kesalahan yang sama di masa hadapan.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman yang minimum kerana dia merupakan penanggung tunggal kepada keluarga selain telah insaf akan kesalahan yang dilakukan.
"Saya mempunyai tiga lagi anak yang masih kecil malah saya ada penyakit kencing manis, jantung dan tekanan darah tinggi.
“Mohon mahkamah mengurangkan hukuman kerana saya mahukan peluang kedua untuk membesarkan anak-anak yang masih kecil,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!