Jelajah PN Teraju Pahang untuk hadapi PRU16 - Pas

Hamdan (duduk, kiri) ketika pertemuan Jabatan Pilihanraya Pas Pusat dan Jabatan Pilihanraya Pas Pahang bersama Harian Negeri di Kuantan baru-baru ini.
Hamdan (duduk, kiri) ketika pertemuan Jabatan Pilihanraya Pas Pusat dan Jabatan Pilihanraya Pas Pahang bersama Harian Negeri di Kuantan baru-baru ini.
A
A
A

KUANTAN - Pas Pahang membuat persediaan awal untuk mentadbir kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang menerusi Jelajah Perikatan Nasional (PN) Teraju Pahang.

Pengarah Pilihan Raya PN Pahang, Hamdan Abdullah berkata, jelajah pertama dilakukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jenderak pada 26 Mei lalu dan diteruskan hingga tarikh PRU16 diumumkan.

Menurutnya, atas semangat demokrasi dan keperluan untuk menambah baik kualiti pengurusan pentadbiran kerajaan negeri, Pas Pahang sentiasa mempertingkatkan kekuatan parti dari pelbagai sudut sokongan dan dukungan.

"Hal ini termasuklah kekuatan profesionalisme dari pelbagai bidang kepakaran dan kemahiran pengurusan bagi persediaan untuk mentadbir kerajaan negeri pasca PRU16 akan datang.

"Keperluan PN untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri adalah suatu prioriti yang tinggi kerana kedudukan orang Melayu dan kekuatan ekonomi mereka tidak pernah bertambah maju di Pahang ini sepanjang UMNO/BN menguasai urus tadbir kerajaan.

"Kini, ia menjadi semakin mendesak kerana UMNO/BN telah mengkhianati slogan hidup Melayunya dengan bersekongkol bersama DAP bagi membentuk kerajaan, sedangkan Pas yang mempunyai sejumlah 15 kerusi DUN ditolak begitu sahaja demi meraih kuasa," katanya lagi.

Ujarnya, Pas Pahang dengan penuh iltizam yang tinggi akan menggembleng seluruh kekuatannya termasuk aspek profesionalisme.

Jelasnya, ia terdiri daripada sumber manusia yang mempunyai pelbagai kepakaran bakal memaksimakan sokongan daripada pihak massa dan seluruh peringkat jentera parti bagi bersiap sedia sebagai kerajaan negeri Pahang selepas PRU16.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, Jabatan Pilihanraya Pas Negeri bersama PN Pahang telah bersiap siaga untuk memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN dalam PRU16 akan datang demi menghasilkan satu urus tadbir yang lebih baik daripada UMNO-DAP sekarang ini terutamanya berkaitan urusan tanah, cukai tempatan, kebajikan dan perpaduan rakyat.

"BN yang dahulu dan kini UMNO-DAP akan sentiasa dihadapi oleh Pas di Pahang kerana matlamat perjuangan Islam yang syumul gagal ditunaikan oleh BN dahulu, apatah lagi kini yang semakin gagal di bawah UMNO-DAP.

"Berdasarkan penelitian kami, UMNO dilihat akan terus ditolak oleh penduduk tempatan akibat terus menzalimi rakyat apabila peruntukan kepada rakyat disekat, malahan bekerjasama pula dengan DAP dalam urus tadbir negeri yang majoriti Melayu Islam," tegasnya.

Ujarnya, masih belum terlambat untuk UMNO Pahang memikirkan segera berkenaan survival politik mereka dengan mengorak langkah laju ke hadapan untuk mengutamakan kepentingan rakyat keseluruhannya.

Jelasnya, ia boleh dilaksanakan dengan berlaku adil kepada semua Ahli Dewan Negeri yang dipilih secara demokrasi serta merombak persefahaman mereka bersama DAP.

"Gesaan ini dikhususkan kepada Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang.

"Sama ada beliau bersikap mengutamakan survival UMNO atau tetap berkeras dengan memperjudikan masa depan politik sempitnya, natijahnya akan diterjemahkan oleh rakyat Pahang pada PRU16, iaitu UMNO Pahang direhatkan dari terus mengurus tadbir negeri Pahang ini yang telah hampir 70 tahun di tangan UMNO.

"Sudah tiba masanya rakyat Pahang membuat anjakan paradigma dengan menukar kerajaan daripada UMNO-DAP kepada Pas-PN secara amalan demokrasi pilihanraya pada PRU16 akan datang," kata beliau lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!