Sindiket dadah berselindung di sebalik syarikat pengawal keselamatan
SEMENYIH - Sindiket proses dan edar dadah yang berselindung di sebalik syarikat pengawal keselamatan berjaya dilumpuhkan dalam serbuan polis di Kajang, Selangor dan Cheras, Kuala Lumpur, Rabu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, dalam sembilan serbuan berasingan itu, polis telah menahan 17 individu termasuk dua wanita berusia 18 hingga 50 tahun dengan rampasan dadah bernilai RM7.5 juta.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati tujuh suspek ialah warga asing iaitu enam warga Pakistan dan seorang Vietnam.
"Serbuan ini turut membabitkan unit apartmen dan sebuah rumah di kawasan perindustrian yang dijadikan sebagai stor dan tempat memproses dadah.
"Sindiket dipercayai mula aktif sejak awal tahun ini dan sering berpindah. Mereka telah membayar sewa rumah sebanyak RM5,500 untuk melakukan aktiviti itu biar pun baru menghuninya dalam tempoh seminggu," katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Semenyih di sini pada Isnin.
Beliau berkata, serbuan bermula jam 1.10 petang itu telah merampas 526.75 kilogram (kg) meth oil, 409 gram ketamin, 504 gram heroin, 10,000 biji pil eramin 5 serta 1.11 kg serbuk MDMA.
Katanya, polis turut merampas 28.8 kg ephedrine, pelbagai jenis cecair dan serbuk bahan kimia untuk menghasilkan dadah selain peralatan proses dadah.
"Polis juga menyita sembilan kenderaan iaitu Honda HRV, Honda CRV, Perodua Myvi, Honda Civic, BMW, Honda City, Toyota Hilux serta Honda EX5 selain wang tunai pelbagai mata wang dan barang kemas yang keseluruhan dianggar bernilai RM1.1 juta," ujarnya.
Tambah Kok Chin, modus operandi sindiket ialah menggunakan khidmat kurier untuk mengedar dadah bagi pasaran tempatan terutama di Lembah Klang.
"Sindiket juga berselindung di sebalik syarikat pengawal keselamatan yang sah berikutan empat yang ditahan merupakan koordinator pengawal keselamatan.
"Polis juga tidak tolak kemungkinan sindiket ini melibatkan kumpulan kongsi gelap," katanya.
Tegas beliau, kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 12 Jun untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Justeru, beliau menggesa masyarakat terus salurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah di Hotline JSJN 012-2087222.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!