Tidak boleh beri tulang, daging korban sebagai upah
BERGOTONG-ROYONG ketika menyembelih dan melapah haiwan korban sememangnya sudah menjadi amalan kebiasaan kita.
Tidak mungkin semua kerja-kerja itu dilakukan secara bersendirian. Pastinya bantuan daripada orang lain sangat diperlukan bagi memudahkan urusan ibadah korban dilakukan bermula dari kerja-kerja menumbangkan haiwan korban hinggalah mengagihkannya.
Persoalannya, bolehkah bahagian tulang binatang korban diberikan kepada orang yang membantu atau terlibat dalam tugas-tugas korban?
Dalam hal itu, Jabatan Mufti Negeri Sembilan mengingatkan, para ulama sepakat mengatakan bahawa wakil atau penyembelih tidak boleh mengambil bahagian daripada sembelihan korban sebagai upah.
Ini kerana terdapat larangan yang keras daripada Nabi Muhammad SAW sebagaimana diriwayatkan oleh Sayidina Ali RA bahawa: “Rasulullah telah memerintahkanku supaya mengorbankan untanya (iaitu ketika hari Nahar) dan supaya aku membahagikan kulitnya dan anggota badannya dan supaya tidak memberikan kepada penyembelih sesuatu daripadanya.” (Muttafaqun Alaih)
“Berdasarkan hadis berkenaan, wakil atau penyembelih tidak boleh menetapkan bahagian daripada binatang korban itu sebagai upahnya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi infografik yang disiarkan di laman sosial Facebook miliknya pada Isnin.
Bagaimanapun, jika ia diniatkan sebagai sedekah atau hadiah sepertimana yang diberi kepada orang lain, Jabatan Mufti Negeri Sembilan menjelaskan, harus hukumnya berbuat demikian.
“Asalkan ia bukan berniat sebagai upah kepada mereka yang menolong dalam acara korban berkenaan,” ungkapnya.
Sekiranya mahu memberikan upah kepada tukang sembelih, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, upah atau sagu hati boleh diberikan dengan syarat ia mestilah daripada harta penganjur atau orang yang melakukan ibadah korban itu sendiri.
Jelasnya, pihak masjid atau penganjur boleh menetapkan harga korban termasuk kos pengurusan yang munasabah kepada mereka yang menyertai ibadah korban di suatu tempat.
“Kos itu boleh diperuntukkan sebahagiannya kepada tukang sembelih kerana menggunakan kepakarannya dalam urusan tersebut.
“Begitu juga dengan kos-kos yang perlu ditanggung oleh penyembelih seperti kos pengangkutan dan masa yang telah diperuntukkan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Irsyad Fatwa Haji & Korban Siri ke-46: Hukum Upah Korban Dalam Bentuk Duit yang disiarkan di laman web rasmi pejabat mufti berkenaan.
Dalam pada itu, menurut Jabatan Mufti Negeri Selangor, daging atau anggota haiwan korban tidak boleh dijadikan sebagai upah kerana ia akan menyebabkan pemberian daging korban itu berstatus jual beli.
“Sedangkan daging korban merupakan ibadah yang perlu disedekahkan dagingnya,” katanya dipetik menerusi laman web muftiselangor.gov.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!