Kelab Renang Gators serlah kehebatan
KELAB Renang Gators dinobatkan juara keseluruhan Kejohanan Renang Antara Kelab Negeri Sembilan Kali Ke-4 yang berakhir pada Ahad selepas meraih 56 pingat emas, 41 perak dan 31 gangsa.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari di Pusat Akuatik Negeri Sembilan itu menyaksikan penyertaan sebanyak 13 pasukan melibatkan seramai 649 atlet berusia antara enam hingga 17 tahun.
Tempat kedua berpihak kepada Kelab Renang Lee dengan meraih 39 emas, 29 perak dan 35 gangsa manakala Kelab Renang Vitesse di tempat ketiga dengan 15 emas, 15 perak dan 11 gangsa.
Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha.
Sementara itu, Presiden Kelab Renang Gators, Md Kamal Fauzi Ahmad berkata, jika tahun lalu kelab berkenaan berada di tempat kedua, tetapi kali ini berjaya mencipta rekod baharu dengan kejayaan membanggakan.
Menurutnya, sokongan daripada pihak swasta terutama syarikat Nilam Adil Sdn Bhd yang merupakan operator pengurusan kolam Kompleks Sukan Tan Sri Dr Hj Mohd Said di Seremban 2 adalah faktor utama penyumbang kejayaan mereka.
"Pihak syarikat ini beri ruang kepada kami untuk mengadakan sesi latihan yang intensif di kemudahan disediakan sekali gus membantu para atlet menjalani latihan secara berterusan," katanya.
Selain itu, beliau berkata, penganjuran kejohanan itu berjaya mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan renang.
Ujarnya, ia tidak berhenti setakat itu saja kerana ada sebahagian atlet kelab berkenaan telah berjaya meletakkan nama dalam kejohanan renang di peringkat antarabangsa.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!