'Pakai ekzos bising konon bunyi menarik, nak laju'

Antara yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Aman Tiara, Telok Panglima Garang pada Sabtu.
Antara yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Aman Tiara, Telok Panglima Garang pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LANGAT - Mahu laju dan bunyi menarik. Itu antara alasan penunggang motosikal yang ditahan di Jalan Aman Tiara, Telok Panglima Garang di sini pada Sabtu atas kesalahan ubah suai ekzos dengan bunyi bising.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, Op Samseng Jalanan itu dijalankan sepasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat bermula jam 9 malam.

Menurutnya, polis telah mengeluarkan 109 saman atas pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan 55 motosikal.

"Antara kesalahan yang dikesan ialah tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, tidak tampal pelekat P, ubah suai ekzos, tidak pakai topi keledar dan tiada nombor pendaftaran.

"Selain itu, enam motosikal telah disita iaitu dua Modenas Kriss, Yamaha Lagenda (2 buah), Suzuki RGV serta Yamaha LC," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, sitaan dibuat ekoran kesalahan utama antaranya ubah suai ekzos, tiada lesen memandu dan tidak pakai topi keledar.

Katanya, kesemua motosikal yang disita dibawa balik ke IPD Kuala Langat untuk tindakan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Antara alasan ubah suai ekzos kerana mahukan bunyi lebih menarik dan hendak tambah kelajuan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tegas beliau, BSPT IPD Kuala Langat akan meneruskan operasi penguatkuasaan untuk memastikan tiada aktiviti samseng jalanan berleluasa khususnya di daerah Kuala Langat.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat sebarang aktiviti samseng jalanan boleh berhubung terus dengan IPD Kuala Langat di talian 03-31872222," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!