Beban kepada rakyat mungkin lebih besar daripada penjimatan RM4 bilion - Muhyiddin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Kenaikan harga diesel secara mendadak hanya akan mengakibatkan kejutan ekonomi yang akan merebak ke seluruh pelosok negara dan menyebabkan kesan gandaan kepada sektor ekonomi dan sosial yang lain.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beban itu jika ditaksir mungkin kosnya kepada rakyat adalah jauh lebih besar daripada RM4 bilion yang dapat dijimatkan melalui penyasaran subsidi.

“Apakah ini berbaloi? Oleh kerana sistem ekonomi negara tidak efisien dan gagal diurus dengan baik oleh pucuk pimpinan kerajaan, maka rakyat akan menghadapi kesulitan hidup yang lebih teruk.

“Saya tidak yakin Sistem Kawalan Subsidi Diesel (SKDS) yang hanya terhad kepada jenis-jenis kenderaan komersial tertentu sahaja dapat mengatasi masalah kenaikan kos dalam rantaian bekalan.

“Syarat-syarat dikenakan ke atas penerima bantuan subsidi diesel menerusi skim Budi Madani juga ketat, boleh menyebabkan sebahagian besar pengguna tidak layak mendapat bantuan. Ini termasuk petani dan pekebun kecil yang menggunakan jentera diesel bagi mengeluarkan produk pertanian,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Muhyiddin turut menzahirkan rasa sedih apabila mengenangkan bebanan yang ditanggung rakyat dengan pengumuman kerajaan mengenai penetapan harga diesel pada kadar RM3.35 seliter bermula Isnin.

Jelasnya, sewaktu menjadi Perdana Menteri, beliau sentiasa prihatin dengan keluhan rakyat dan itu yang diterjemahkan ketika memegang tanggungjawab dan harapan rakyat.

“Langkah PH-BN (Pakatan Harapan-BN) ini sekadar bukti menunjukkan mereka tidak peka terhadap keluhan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 atau 56 peratus berbanding sebelumnya adalah amat tinggi dan tidak mengendahkan nasib rakyat yang cukup terbeban dengan inflasi dan kos sara hidup yang sudah tinggi.

“Peringatan saya di Parlimen supaya pelaksanaan penyasaran subsidi langsung tidak diendahkan. Sedih di hati bukan kepalang apabila memikirkan kesan kepada rakyat,” ujar beliau.

Tambah Muhyiddin, bagi yang layak menerima bantuan pula, jumlah RM200 sebulan pastinya tidak memadai untuk menampung kenaikan harga diesel yang terlalu tinggi.

Akhirnya beliau berkata, kenaikan kos dalam rantaian bekalan akan tetap berlaku dan ditanggung sepenuhnya oleh pengguna.

“Penyasaran subsidi diesel tanpa langkah komprehensif untuk menampan kesan kenaikan kos sara hidup rakyat adalah satu keputusan buruk yang dibuat oleh kerajaan. Kesannya akan dirasai serta-merta.

“Ini hanya permulaan. Saya ingin mengingatkan bahawa rakyat akan lebih terbeban apabila kerajaan menarik balik subsidi RON95 tidak lama lagi,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!