Virus Wuhan: Singapura tingkatkan langkah berjaga-jaga
SINGAPURA - Singapura menyediakan langkah berjaga-jaga tambahan untuk mengurangkan risiko penyebaran wabak radang paru-paru disebabkan jangkitan novel koronavirus ke republik itu, susulan pengesahan pihak berkuasa China ia boleh tersebar dari manusia ke manusia.
Di laman webnya hari ini, Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) berkata, ia mencatat peningkatan dalam bilangan kes dan penularan wabak itu di China.
Jumlah kematian akibat wabak koronavirus baharu itu dilaporkan meningkat kepada enam di pusat bandar Wuhan, China pada 20 Januari.
Menurut MOH, sehingga kini, hanya kes-kes yang menunjukkan simptom seperti demam dan radang paru-paru serta mempunyai sejarah perjalanan ke Wuhan dalam tempoh 14 hari sebelum bermulanya wabak itu akan diasingkan.
Bermula esok hingga 22 Januari, MOH berkata, ia akan memperluaskan definisi kes suspek untuk memasukkan individu yang menunjukkan simptom radang paru-paru dan sejarah perjalanan ke China dalam tempoh 14 hari sebelum bermulanya wabak atau mereka yang mengalami jangkitan pernafasan akut yang pernah ke mana-mana hospital di China, dalam masa 14 hari sebelum bermulanya gejala itu.
“Kes-kes ini akan diasingkan di hospital sebagai langkah berjaga-jaga untuk mencegah ia daripada tersebar,” menurut kenyataan itu.
MOH berkata, imbasan haba di Lapangan Terbang Changi juga akan diperluaskan kepada semua penumpang yang menaiki pesawat dari China dan suspek kes yang didapati memenuhi definisi itu akan dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Setakat ini tiada wabak koronavirus baharu dikesan di Singapura.
Bagaimanapun, berdasarkan jumlah perjalanan antarabangsa yang tinggi ke Singapura, MOH menjangkakan lebih banyak kes suspek dan kemungkinan kes import.
“Sebaik sahaja kes disahkan, pengesanan hubungan akan dimulakan, kami akan melaksanakan kawalan ketat, kuarantin dan kawalan jangkitan serta langkah pencegahan penularan wabak itu,” menurut MOH. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!